
MACHANG: Usaha berterusan memperkasakan komuniti melalui latihan kemahiran mampu menjana pendapatan dan meningkatkan taraf hidup keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Dato’ Rohani Ibrahim berkata, program seumpama itu memberi ruang kepada peserta menambah ilmu dan kemahiran serta membuka peluang untuk menceburi bidang keusahawanan.
“Latihan yang diberikan mampu membantu peserta membina keyakinan diri dan seterusnya menjadikan kemahiran yang diperoleh sebagai satu peluang ekonomi kepada keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Batik Terap Fasa 1 di bawah Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Machang di Dewan Al Falah, Labok di sini.
Turut hadir Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Nor Asilah Mohamed Zin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Chondong, Azhar Salleh; dan Pengarah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan (U-KeKWa), Ilvira Mohd Dasuki.
Program anjuran Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan yang berlangsung selama empat hari itu dilaksanakan dengan kerjasama Darul Niswah DUN Pulai Chondong menyaksikan seramai 25 pelatih daripada komuniti Machang menyertai program berkenaan.
Sehubungan itu menurut Rohani, usaha seperti itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada peserta, malah membuka ruang untuk mereka menjadikan kemahiran sebagai sumber pendapatan.
“Usaha ini dilihat berpotensi memperkasa ekonomi wanita dan keluarga melalui pembangunan kemahiran serta keusahawanan,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan bahawa makmal berkenaan memberi fokus kepada teknik batik terap bagi menghasilkan produk hiasan meja seperti seperah, alas pinggan dan napkin.
“Inisiatif ini juga bukan sahaja membantu memelihara warisan seni kraf tradisional, malah membuka ruang kepada peserta mengembangkan kemahiran serta menghasilkan produk bernilai komersial dan berpotensi dipasarkan,” katanya.
Beliau juga menekankan bahawa pembangunan industri kraf tempatan perlu terus diperkasakan supaya lebih ramai masyarakat khususnya wanita dapat terlibat secara aktif.
“Saya berharap para pelatih dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan, menguasai kemahiran yang dipelajari serta meningkatkan keyakinan diri untuk muncul sebagai usahawan kraf yang berjaya.
“Apabila kemahiran ini diterjemahkan kepada penghasilan produk berkualiti, ia mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi keluarga dan komuniti setempat,” ujarnya lagi.
Tambah Rohani, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan atas komitmen berterusan dalam memartabatkan warisan kraf tempatan.
“Kerjasama semua pihak yang terlibat menjadi faktor penting dalam menjayakan program seperti ini dan saya berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2026











