
KUALA LUMPUR: Jangan sampai slogan ‘inklusif’ hanya sedap didengar di pentas, tetapi apabila ada pihak memilih jalan berbeza, mereka terus dilayan seolah-olah melakukan kesalahan, menurut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Rosni Adam.
Beliau berkata demikian dipercayai susulan tindakan merehatkan pengulas sukan RTM, Azlan Johar, yang dikatakan berlaku selepas beliau dikaitkan dengan penyertaan dalam PAS.
Dr Rosni menegaskan, Azlan yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan mempunyai hak untuk memilih pendirian politiknya, dan dalam negara demokrasi, penyertaan dalam PAS bukanlah satu kesalahan.
Menurut beliau, wujud unsur tidak profesional apabila kepakaran serta khidmat seseorang seolah-olah diketepikan hanya kerana pilihan politiknya tidak sehaluan dengan pihak pemerintah.
“Madani sepatutnya lebih matang daripada ini,” katanya yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan dalam kenyataan.
Mengulas isu Azlan, Dr Rosni menyifatkan perkembangan itu menimbulkan tanda tanya besar.
Beliau menjelaskan, bahawa Azlan tidak bercakap soal politik sebaliknya memberi pandangan berkaitan sukan, khususnya bola sepak.
Justeru, beliau menegaskan, kepakaran dalam bidang berkenaan wajar dinilai berdasarkan pengalaman, ilmu serta profesionalisme, bukan diukur melalui latar parti politik yang dipilih.
“Kalau benar Kerajaan Madani membawa nilai demokrasi, keterbukaan dan keadilan, maka perbezaan politik tidak seharusnya menjadi sebab seseorang itu dipinggirkan.
“Rakyat berhak memilih wadah perjuangan masing-masing, termasuk menyertai PAS,” katanya.
Terdahulu, Harakahdaily melaporkan Azlan telah direhatkan daripada tugasnya sebagai pengulas sukan sempena kejohanan Piala Dunia 2026, sejurus beliau mengumumkan menyertai parti politik PAS.
Perkara ini telah dibangkit dan disahkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. – HARAKAHDAILY 16/6/2026











