Ketawa Ayah Chik

- Advertisement -

SEINGAT saya, saya pernah lihat sebelum ini, Ayah Chik bertenaga dan gembira dalam keputusan politiknya pada ceramah mengumumkan nama calon PAS untuk PRK Kuala Terengganu, 2009 dahulu.

Beliau memberikan butiran jelas kenapa beliau memilih Mohd Abdul Wahid Endut berbanding seorang lagi calon PAS yang mengada-ngada dan dikatakan sudah awal-awal lagi mengisytiharkan diri sendiri menjadi calon.

Antara sebab beliau membuat keputusan itu ialah kerana beliau menunaikan solat istikharah dan melihat tanda yang jelas untuk memilih Dato’ Mohd Abdul Wahid Endut. Dan benar, PAS menang lebih 2,000 majoriti, mengalahkan Ketua Hakim Negara sekarang, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon Umno.

- Advertisement -

Ia bukan suatu pencapaian yang mudah kerana waktu itu Umno masih kuat dan nama bekas Ahli Parlimen, allahyarham Datuk Razali Ismail yang sangat dikenali sebagai tokoh yang disegani. PAS ketika itu sedang sembuh dari luka kehilangan negeri pada 2004. Kuala Terengganu kekal bersama PAS sehingga kini.

Kali ini dalam ceramah di Tanah Merah, ketika mengumumkan lantikan semula Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin Ayah Chik sekali lagi kelihatan bertenaga dan gembira, dengan jelas kedengaran suara ketawa beliau.

Ketawa gembira itu yang menjadi bunyi gangguan memeritkan kepada musuh PAS. Keputusan itu membuktikan bahawa PAS bukan gila jawatan atau mahu membolot kuasa seorang. Ia dikongsikan kepada yang layak, apa sahaja amanah dan tanggungjawab bagi perjuangan ini. PAS juga dilihat dihormati oleh semua komponen PN (kecuali BERSATU yang tidak berhenti mengkritik) dengan sokongan dari mereka.

Lalu dituduhlah Presiden PAS sebagai ‘mullah’, ayatollah dan berbagai lagi gelaran bagi membentuk persepsi negatif gila kuasa kerana keputusan itu. Tetapi serangan kali ini, bukan datang dari ceplos aras bawah, ia datang dari pimpinan ceplos sendiri yang mungkin sudah tidak mengharapkan ceplos yang tidak mampu lagi melaksanakan tugas menghapuskan PAS.

Di Terengganu, tiada penglibatan Presiden PAS dalam keputusan Kerajaan Negeri. Apatah lagi projek atau apa-apa keuntungan yang dikembalikan kepada beliau kerana mahu mengambil harta rakyat. Tanah, balak, sumber asli dan banyak lagi, bukan sahaja sekarang, malahan sewaktu beliau menjadi Menteri Besar, beliau boleh mengambilnya jika beliau benar-benar mullah atau ayatollah. Tetapi ia tidak berlaku.

Jadi tuduhan ‘mullah’ dan ayatollah hanyalah tuduhan murahan bagi menyatakan betapa bimbangnya melihat gerakan demi gerakan PAS yang semakin diyakini rakyat. Semakin teruk PAS dikecam, semakin ramai yang ingin bersama PAS.

Gaya menakut-nakutkan PAS ini tidak ada bezanya dengan suara Chua Soi Lek. Apa yang dilihat di sini, gambaran yang sama juga diluahkan oleh seorang yang pernah menjadi pembantu pemimpin BERSATU, Presiden PAS buat keputusan sendiri, tanpa penglibatan parti-parti lain dalam PN. Sedangkan gabungan PAS dan RESET jelas gabungan terbanyak.

Atau adakah ia satu gerakan bersama bagi golongan yang bimbangkan kemaraan PAS untuk mereka terpaksa melancarkan serangan yang hampir sama ini? Jika benar, ia bermaksud PAS berada di jalan yang tepat untuk mencapai kejayaan.

Dalam waktu difitnah hebat, semalam, bertambah lagi keluarga besar PAS dengan kemasukan belasan figura yang insya-Allah akan memberikan kekuatan tambahan kepada PAS. Mereka tiada takut, mereka tiada percaya bohongan jahat terhadap PAS.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 15/6/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -