
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mengambil pendekatan memperkukuh penyelarasan antara agensi bagi menangani isu kehadiran warga Rohingya di beberapa kawasan dalam negeri ini secara lebih tersusun dan berkesan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah itu dilaksanakan melalui kerjasama rapat antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta agensi penguatkuasa berkaitan.
Menurutnya, kerjasama tersebut melibatkan perkongsian maklumat, pemantauan dan tindakan bersepadu mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Kerajaan Negeri sedar bahawa penguatkuasaan di lapangan mempunyai cabaran tersendiri, termasuk isu pengesahan dokumen, komunikasi, keselamatan anggota serta had bidang kuasa antara agensi.
“Namun, perkara ini bukan alasan untuk berdiam diri. Sebaliknya, ia menuntut tindakan yang lebih tersusun, berhati-hati dan berkesan supaya sebarang tindakan yang diambil tidak tersasar daripada peruntukan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, dalam ruang lingkup kerajaan negeri, tindakan yang boleh dilaksanakan oleh PBT tertumpu kepada aspek pematuhan setempat seperti pelesenan perniagaan, syarat premis, kebersihan persekitaran, kacau ganggu awam dan penggunaan premis yang tidak mematuhi peraturan.
Katanya, PBT tidak mempunyai kuasa untuk menentukan status imigresen atau mengambil tindakan semata-mata berdasarkan kewarganegaraan seseorang.
Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, kerajaan negeri memahami kebimbangan masyarakat berhubung perkara itu, namun sebarang tindakan perlu dilaksanakan secara profesional, berhati-hati dan berlandaskan undang-undang.
“Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang melibatkan premis, perniagaan, penempatan atau aktiviti yang menyalahi peraturan, tindakan sewajarnya akan diambil oleh agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dan tidak mengambil tindakan sendiri atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan negeri kekal komited memastikan keselamatan komuniti, ketenteraman awam dan keharmonian sosial terus terpelihara.
“Kerajaan Negeri Terengganu kekal tegas dalam soal keselamatan dan ketenteraman awam, namun tindakan yang diambil perlu dilaksanakan secara profesional, berhemah dan berlandaskan undang-undang.
“Keutamaan kerajaan negeri adalah memastikan kesejahteraan rakyat, keselamatan komuniti dan keharmonian sosial terus terpelihara,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan tegas dan menyeluruh berhubung isu pelarian Rohingya yang semakin mencetuskan keresahan rakyat.
Beliau berkata, keresahan itu tidak boleh dipandang ringan susulan reaksi meluas di media sosial serta petisyen awam yang menurutnya telah mengumpulkan lebih 420,000 tandatangan.
Ahmad Amzad berkata, Malaysia selama ini mengambil pendekatan berperikemanusiaan dengan memberi perlindungan sementara kepada pelarian Rohingya, walaupun negara ini bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967.
Namun, katanya, prinsip kemanusiaan tidak boleh mengatasi aspek keselamatan rakyat, ketenteraman awam dan kedaulatan negara. – HARAKAHDAILY 15/6/2026











