PRU16: Undi popular PAS dijangka meningkat

Annuar Musa
- Advertisement -

MACHANG: PAS dijangka mampu meraih lebih lima juta undi popular pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berdasarkan perkembangan semasa dan peningkatan sokongan yang ditunjukkan sejak beberapa siri pilihan raya lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan pola peningkatan undi popular yang direkodkan PAS sejak PRU13.

- Advertisement -

Katanya, PAS memperoleh sekitar satu juta undi popular pada PRU13 sebelum meningkat kepada dua juta pada PRU14 dan terus melonjak kepada 3.75 juta pada PRU15.

Menurut beliau, keadaan berbeza berlaku kepada Barisan Nasional (BN) apabila jumlah undi popular yang dikumpul menunjukkan trend menurun iaitu sekitar lima juta pada PRU13, empat juta pada PRU14 dan tiga juta pada PRU15.

“Saya menjangka jumlah undi popular PAS pada PRU16 akan mengatasi BN.

“Malah pada PRU15 PAS mempunyai 43 Ahli Parlimen berbanding Umno yang hanya memperoleh 26 kerusi,” katanya pada pelancaran gerak kerja pilihan raya PAS Kelantan di Markas Dewan Ulamak PAS Kelantan, Labok, hari ini.

Tambah Annuar, Umno kini dilihat cuba membawa pendekatan bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan sekiranya formula tersebut berjaya ia berkemungkinan diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Katanya lagi, ketika PAS dan Perikatan Nasional (PN) sedang melangkah lebih jauh dalam misi menuju Putrajaya, Bersatu pula berdepan beberapa isu dalaman yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada perjalanan gabungan tersebut.

“Perkara berkaitan akan diputuskan pimpinan PAS Pusat pada 8 Jun ini bagi menentukan hala tuju perjuangan PAS dan Bersatu.

“Apa juga keputusan yang dibuat nanti akan dipatuhi oleh seluruh pendukung PAS di semua peringkat,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha PAS Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berharap semua perancangan dan gerak kerja parti diselaraskan di bawah Lajnah Pemerkasaan Parti bagi memastikan jentera bergerak secara tersusun dan berkesan.

Sempena program tersebut turut berlangsung penyerahan panji oleh pesuruhjaya kepada wakil 14 PAS kawasan, Dewan Ulamak, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Assabiqun dan Dewan Himpunan Pendukung PAS sebagai simbol kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya.- HARAKAHDAILY 8/6/2026

- Advertisement -