Prestasi PKD Kelantan capai 65 peratus

Wan Nik Wan Yussof
- Advertisement -

MACHANG: Prestasi setiap Pusat Khidmat DUN (PKD) di Kelantan mencatat pencapaian 65 peratus berdasarkan penilaian semasa sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

|Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Dato’ Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, pencapaian tersebut menunjukkan tahap kesiapsiagaan jentera parti yang berada dalam keadaan baik menjelang pilihan raya.

- Advertisement -

Menurutnya, PAS Kelantan turut menyasarkan kemenangan secara tuntas pada PRU16 bagi mempertahankan kerajaan negeri yang diterajui sekarang.

“Berdasar kajian prestasi yang dibuat terhadap setiap Pusat Khidmat DUN (PKD) di Kelantan, pencapaian semasa berada pada tahap 65 peratus dan ia menunjukkan prestasi yang baik.

“Kita juga menyasarkan kemenangan secara tuntas pada PRU16 bagi memastikan kerajaan negeri terus dapat dipertahankan,” katanya ketika menyampaikan taklimat pada pelancaran gerak kerja PRU16 PAS Kelantan di Markas Dewan Ulamak (Madu) PAS Kelantan di Labok.

Program tersebut menghimpunkan jentera pilihan raya dari seluruh Kelantan sehingga memenuhi dewan utama Madu, manakala kaunter pendaftaran mula sesak seawal jam 8 pagi apabila peserta hadir untuk mendaftar.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan; Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud; dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Tidak ketinggalan hadir ialah Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Dato’ Seri Annuar Musa; Setiausaha PAS Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat serta wakil-wakil rakyat.

Majlis dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh Naib Johan Tilawah al-Quran Kelantan 1447, Ustaz Anuar Abdullah sebelum diteruskan dengan sesi taklimat gerak kerja pilihan raya. -HARAKAHDAILY 8/6/2026

- Advertisement -