Federalisme perlu direformasi demi pembangunan lebih seimbang

Wan Sukairi Wan Abdullah
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Reformasi federalisme perlu diangkat sebagai agenda keutamaan negara bagi memastikan pembangunan yang lebih seimbang, berkesan dan inklusif selaras dengan cabaran semasa yang semakin kompleks.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sistem hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu dinilai semula bagi memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

- Advertisement -

Beliau berkata, walaupun federalisme diwujudkan untuk membahagikan kuasa antara kedua-dua peringkat kerajaan, pelbagai cabaran semasa menunjukkan terdapat keperluan untuk menyesuaikan struktur sedia ada dengan tuntutan semasa.

“Perbahasan mengenai federalisme di Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu. Namun, dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar, tuntutan pembangunan yang semakin kompleks serta kepelbagaian keperluan antara negeri-negeri, reformasi federalisme tidak lagi boleh dianggap sebagai isu teknikal Perlembagaan semata-mata. Ia perlu dilihat sebagai agenda nasional.

“Dalam sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian geografi, budaya dan tahap pembangunan, federalisme sepatutnya menjadi mekanisme yang membolehkan dasar nasional disesuaikan dengan realiti tempatan.

“Namun, selepas lebih enam dekad pembentukan negara moden Malaysia, timbul persoalan sama ada struktur federalisme sedia ada masih mampu memenuhi tuntutan semasa. Hakikatnya, pelbagai cabaran yang dihadapi hari ini menunjukkan bahawa reformasi federalisme bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian ialah pemusatan kuasa di peringkat Persekutuan yang boleh mengehadkan keupayaan negeri bertindak balas secara lebih pantas terhadap keperluan rakyat.

Katanya, keadaan itu turut memberi kesan kepada aspek kewangan apabila banyak negeri masih bergantung kepada geran dan peruntukan Persekutuan bagi melaksanakan projek pembangunan.

“Sedangkan dalam banyak keadaan, kerajaan negeri mempunyai pemahaman yang lebih mendalam terhadap cabaran unik yang dihadapi oleh masyarakat setempat.

“Keadaan ini turut memberi kesan kepada aspek kewangan. Banyak negeri masih bergantung secara signifikan kepada geran dan peruntukan Persekutuan untuk melaksanakan projek pembangunan.

“Kebergantungan yang berpanjangan bukan sahaja mengehadkan ruang inovasi dasar di peringkat negeri, malah boleh melambatkan pelaksanaan projek yang amat diperlukan oleh rakyat,” jelasnya.

Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, reformasi federalisme perlu dilaksanakan melalui beberapa langkah termasuk memperkukuh mekanisme perundingan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri menerusi platform institusi yang lebih formal dan berkesan.

“Reformasi yang baik tidak bertujuan melemahkan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya memperkukuh hubungan antara semua peringkat kerajaan agar setiap pihak dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan.

“Langkah pertama yang perlu diberikan perhatian ialah memperkukuh mekanisme perundingan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri melalui pewujudan platform institusi yang lebih formal, konsisten dan berkesan bagi membincangkan isu pembangunan, kewangan, pelaksanaan dasar serta cabaran baharu yang dihadapi negara.

“Pengalaman negara seperti Australia menunjukkan bahawa forum antara kerajaan yang tersusun mampu meningkatkan kerjasama dan mengurangkan ketegangan politik,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan supaya aspek federalisme fiskal diberikan perhatian termasuk menilai semula formula pengagihan hasil serta memperkenalkan mekanisme penyamaan fiskal bagi mengurangkan jurang pembangunan antara negeri.

“Negeri yang kurang berkemampuan perlu menerima sokongan yang mencukupi. Pada masa yang sama, negeri yang berjaya menjana hasil juga perlu diberikan insentif yang munasabah untuk terus memperkukuhkan ekonomi masing-masing,” katanya.

Selain itu, beliau berpandangan kerajaan boleh mempertimbangkan pemberian kuasa fiskal yang lebih luas kepada negeri dalam bidang tertentu bagi membolehkan mereka menjana pendapatan sendiri secara lebih berkesan dan bertanggungjawab.

“Ini tidak bermaksud negeri diberi kebebasan tanpa kawalan, tetapi membolehkan mereka mempunyai ruang yang lebih besar untuk menjana pendapatan sendiri secara bertanggungjawab melalui instrumen tertentu yang dipersetujui bersama.

“Dengan sumber kewangan yang lebih kukuh, negeri dapat merancang pembangunan jangka panjang dengan lebih yakin dan berkesan,” tegasnya.

Menurut beliau, reformasi juga perlu merangkumi usaha mengurangkan pertindihan fungsi antara Persekutuan dan negeri serta menyederhanakan birokrasi yang sering melambatkan pelaksanaan projek pembangunan.

“Reformasi mesti merangkumi usaha mengurangkan birokrasi yang sering melambatkan pelaksanaan projek pembangunan. Dalam ekonomi yang semakin kompetitif, proses yang lebih cekap dan jelas penting bagi mempercepat pembangunan, menarik pelaburan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat tanpa menjejaskan akauntabiliti,” katanya.

Beliau berkata, mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih tersusun antara kedua-dua peringkat kerajaan turut perlu diwujudkan bagi memastikan sebarang perbezaan pandangan dapat ditangani secara konstruktif tanpa menjejaskan kepentingan rakyat.

“Dalam sebuah negara persekutuan, perbezaan pandangan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri adalah perkara biasa. Apa yang lebih penting ialah kewujudan saluran yang jelas, telus dan dipercayai untuk menyelesaikan perbezaan tersebut tanpa menjejaskan kepentingan rakyat.

“Sudah tentu, melaksanakan reformasi federalisme bukanlah tugas yang mudah. Faktor politik, sejarah, kepentingan institusi dan sensitiviti sosial sering menjadi penghalang kepada perubahan. Namun, kesukaran itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk menangguhkan pembaharuan yang diperlukan.

“Negara yang berjaya ialah negara yang mampu menyesuaikan institusinya dengan perubahan zaman tanpa mengorbankan kestabilan yang telah dibina,” katanya.

Kata beliau lagi, Malaysia kini berada pada titik yang kritikal untuk menilai semula hubungan Persekutuan-negeri dalam kerangka yang lebih matang dan konstruktif.

“Reformasi federalisme tidak sepatutnya dilihat sebagai permainan menang-kalah antara Kerajaan Persekutuan dan negeri. Sebaliknya, ia merupakan usaha bersama untuk membina sebuah sistem tadbir urus yang lebih seimbang, responsif dan adil.

“Jika Malaysia benar-benar ingin melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara maju yang inklusif dan berdaya tahan, maka reformasi federalisme perlu diangkat sebagai agenda keutamaan negara.

“Masa depan negara bukan hanya bergantung kepada kekuatan Kerajaan Persekutuan, tetapi juga kepada keupayaan semua negeri untuk berkembang dan menyumbang secara optimum dalam kerangka sebuah persekutuan yang lebih dinamik dan berfungsi dengan baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/6/2026

- Advertisement -