TTI akui beberapa kemudahan perlu dibaiki, naik taraf

Pengurusan komited pulihkan imej taman pelancongan secara berperingkat

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengurusan Taman Tamadun Islam (TTI) mengakui terdapat beberapa aset dan kemudahan di kawasan pelancongan itu yang memerlukan pembaikan serta naik taraf, namun memberi jaminan usaha pemulihan sedang dilaksanakan secara berperingkat.

Pengurus Besar TTI Management Sdn. Bhd., Mohd Fadhil Wahab berkata, pihaknya mengambil maklum pelbagai komen dan gambar yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini berhubung keadaan beberapa kemudahan di TTI.

- Advertisement -

Menurutnya, pihak pengurusan tidak menafikan wujud kerosakan pada sebahagian infrastruktur, namun situasi itu perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira faktor usia aset serta cabaran kewangan yang dihadapi organisasi.

“TTI merupakan aset pelancongan yang dibangunkan lebih dua dekad lalu dengan kawasan yang luas serta pelbagai kemudahan yang memerlukan kos penyelenggaraan tinggi setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa TTI merupakan sebuah aset pelancongan yang dibangunkan lebih dua dekad lalu dengan kawasan yang luas serta pelbagai kemudahan dan infrastruktur yang memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi setiap tahun.

“Dalam tempoh tertentu, organisasi turut berdepan dengan cabaran kewangan yang memberi kesan kepada keupayaan untuk melaksanakan semua kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf secara serentak.

“Saya tidak menyebut perkara ini sebagai alasan. Saya menyebutnya sebagai realiti yang perlu diurus dengan penuh tanggungjawab,” tegasnya.

Beliau juga berkata, sebagai syarikat milik kerajaan negeri, setiap perbelanjaan perlu dirancang secara teliti bagi memastikan manfaat maksimum kepada organisasi dan rakyat.

“Oleh sebab itu, banyak kerja pembaikan dan pembangunan terpaksa dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan, kemampuan kewangan dan keperluan operasi semasa,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar yang memaparkan keadaan sekitar TTI yang didakwa kurang terurus serta kotor sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.

Dalam pada itu tambah Mohd Fadhil, masyarakat juga perlu memahami bahawa terdapat pelbagai usaha yang sedang dijalankan di sebalik isu yang dipaparkan menerusi gambar atau hantaran di media sosial.

“Apa yang tidak kelihatan ialah usaha kakitangan yang setiap hari memastikan kawasan sentiasa beroperasi. Apa yang tidak kelihatan ialah kerja-kerja pembaikan yang dilakukan secara berterusan dengan sumber yang terhad.

“Apa yang tidak kelihatan ialah usaha menjana pendapatan baharu bagi memastikan organisasi mempunyai kemampuan untuk terus membaiki, menaik taraf dan membangunkan aset-aset yang ada,” katanya.

Beliau menegaskan pihak pengurusan tidak berhasrat mempertahankan sebarang kelemahan, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki segala kekurangan yang dikenal pasti.

“Apa yang rosak akan dibaiki. Apa yang usang akan dinaik taraf. Apa yang kurang akan ditambah baik. Apa yang terbiar akan dihidupkan semula. Itulah komitmen yang sedang kami laksanakan hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sepanjang setahun lalu bagi mengukuhkan semula kedudukan TTI termasuk penambahbaikan produk pelancongan, pengaktifan program komuniti, pembangunan perniagaan baharu serta peningkatan hasil organisasi.

Mohd Fadhil turut menjelaskan bahawa pihaknya menghargai setiap pandangan dan teguran yang diberikan masyarakat kerana ia mencerminkan rasa sayang terhadap TTI sebagai antara ikon pelancongan negeri.

“Kami sedar masyarakat mempunyai harapan yang tinggi terhadap TTI dan saya percaya harapan itu wujud kerana masyarakat masih sayangkan TTI. Untuk itu, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang menegur, memberi pandangan dan mengambil berat tentang masa depan Taman Tamadun Islam.

“Namun saya ingin menegaskan satu perkara. Mudah untuk mengambil gambar kerosakan. Mudah untuk menularkan kelemahan.

“Tetapi membangunkan semula sebuah organisasi, memulihkan aset yang berusia puluhan tahun dan memastikan ia terus relevan memerlukan masa, komitmen, perancangan serta sumber kewangan yang besar.

“Itulah cabaran sebenar yang sedang kami hadapi dan itulah juga tanggungjawab yang sedang kami galas,” hujahnya.

Beliau juga menegaskan bahawa TTI ada peluang untuk penambaikan.

“Hari ini mungkin ada yang melihat kerosakan. Tetapi kami melihat peluang untuk penambahbaikan. Hari ini mungkin ada yang melihat kekurangan. Tetapi kami melihat ruang untuk perubahan. Hari ini mungkin ada yang mempersoalkan keadaan TTI. Tetapi saya melihat masa depan TTI yang lebih kukuh, lebih berdaya saing dan lebih membanggakan.

“Kerana bagi saya, Taman Tamadun Islam bukan sekadar sebuah produk pelancongan.
Ia adalah amanah. Ia adalah maruah organisasi. Ia adalah aset rakyat Terengganu dan amanah ini tidak akan kami tinggalkan.

“Saya tidak berjanji bahawa semuanya akan berubah dalam masa sehari. Tetapi kami tidak akan berhenti berusaha sehingga perubahan itu dapat dilihat dan dirasai oleh semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/6/2026

- Advertisement -