Jabatan IT PAS terus perkasa penguasaan teknologi maklumat

Che Alias Hamid (Foto: Wan Abdul Hadi)
- Advertisement -

CUKAI: Jabatan IT PAS Pusat perlu terus memainkan peranan sebagai tunjang utama dalam memperkukuhkan gerak kerja parti berasaskan teknologi maklumat bagi mendepani cabaran politik alaf baharu yang semakin dinamik.

- Advertisement -

Senator Che Alias Hamid berkata, penguasaan bidang teknologi maklumat (IT) bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan penting bagi memastikan mesej dakwah dan perjuangan politik PAS dapat disampaikan secara tepat, pantas dan berkesan kepada masyarakat.

“Penguasaan IT hari ini adalah satu keperluan fardhu kifayah yang perlu diberi perhatian serius oleh semua peringkat parti,” katanya ketika merasmikan penutupan Pemukiman Jabatan IT PAS Pusat di Darul Iman Training Centre (DITC), Teluk Kalong, di sini, hari ini.

Program selama tiga hari dua malam bermula 5 Jun itu menghimpunkan wakil Jabatan IT PAS Pusat dan negeri dari seluruh negara termasuk wakil dari Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS.

Che Alias berkata, komitmen peserta yang hadir mencerminkan kesungguhan parti dalam memperkasakan agenda pendigitalan serta meningkatkan keupayaan teknologi maklumat dalam organisasi.

“Kehadiran pimpinan dan wakil daripada Jabatan IT PAS Negeri-Negeri serta wakil IT daripada Dewan-Dewan (Dewan Ulama, Dewan Pemuda, dan Dewan Muslimat) membuktikan wujudnya kesatuan fikrah dan kesiapsiagaan yang tinggi untuk kita melonjakkan keupayaan teknologi parti ke tahap yang lebih mampan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengamal IT PAS supaya sentiasa bersedia menghadapi cabaran persepsi dan dakyah yang disebarkan menerusi media sosial.

Katanya, medan perjuangan masa kini semakin tertumpu kepada ruang siber yang memerlukan penguasaan data, analisis trend serta keupayaan menyalurkan maklumat sahih secara pantas.

“Penguasaan maklumat dan teknologi menjadi antara faktor penting dalam mempertahankan perjuangan serta memperkukuhkan keyakinan masyarakat terhadap parti,” katanya.

Pemukiman berkenaan turut berjaya merangka beberapa resolusi dan pelan tindakan strategik yang akan dilaksanakan di peringkat pusat dan negeri bagi memastikan jentera IT PAS terus diperkasakan. – HARAKAHDAILY 7/6/2026

- Advertisement -