
Soalan:
Adakah boleh sekumpulan orang yang mempunyai hutang qada solat mereka kerjakan qada tersebut dengan berjemaah? Bagaimana kalau setengahnya menunaikan qada yang berlainan rakaat seperti Maghrib dengan Isyak?
Jawapan:
Hukum melakukan solat qada secara berjemaah adalah harus tanpa khilaf.
Berkata Imam Nawawi:
لا خلاف بين العلماء في جواز الجماعة في القضاء إلا ما حُكي عن الليث بن سعد من منع ذلك.
Ertinya: “Tiada khilaf antara ulamak pada harus berjemaah pada solat qada melainkan apa yang dihikayatkan dari Al-Laith bin Saad yang menegah yang demikian itu.” (Kitab Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab)
Jika imam solat qada Subuh maka makmum seperti solat orang yang masbuk iaitu menambah rakaat selepas imam salam.
Berkata Imam Nawawi:
وتصح قدوة المؤدي بالقاضي والمفترض بالمتنفل وفي الظهر بالعصر وبالعكوس
Ertinya: “Dan sah ikutan orang solat tunai dengan imam yang qada dan orang yang solat fardu dengan imam yang solat sunat dan sah yang solat zuhur dengan imam yang solat asar dan sebaliknya.” (Kitab Minhaju At-Talibin)
Dan pada solat qada yang bersamaan imam dengan makmum seperti imam dan makmum sama-sama luput solat Asar atau Zohor maka ulamak berkata dengan sunat berjemaah pada melakukan qadanya.
Berkata Imam Nawawi:
فليست الجماعة فيها فرض عين ولا كفاية بلا خلاف، ولكن يستحب الجماعة في المقضية التي يتفق الإمام والمأموم فيها؛ بأن يفوتهما ظهر أو عصر
Ertinya: “Maka solat qada secara berjemaah itu bukanlah fardu ain atau fardu kifayah tanpa khilaf akan tetapi disunatkan berjemaah pada solat qada yang bersamaan imam dan makmum padanya seperti keduanya telah sama-sama terluput solat Zohor atau Asar.” (Kitab Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab)
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 7/6/2026











