
KUALA TERENGGANU: Perbahasan mengenai syariat Islam sewajarnya dilihat secara menyeluruh dan adil, bukan hanya melalui sudut pandang hukuman semata-mata.
Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu, To’ Puan Zarani Othman berkata, pihaknya mengambil maklum kritikan yang dikemukakan Sisters in Islam (SIS) berhubung pelaksanaan hukuman syariah di Terengganu.
Menurut beliau, setiap pihak berhak menyuarakan pandangan, namun syariat Islam perlu difahami dalam kerangka yang lebih luas termasuk aspek pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
“Sebagai sebuah gerakan wanita Islam, Dewan Muslimat PAS Terengganu percaya syariat diturunkan bukan untuk menzalimi manusia, sebaliknya bagi memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
“Dalam konteks masyarakat hari ini, matlamat tersebut amat penting bagi melindungi institusi keluarga, menjaga maruah wanita, memelihara nasab keturunan dan membentuk masyarakat yang lebih sejahtera,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, kumpulan hak asasi wanita, SIS membangkitkan kebimbangan berhubung hukuman sebatan terhadap dua pasangan muda atas kesalahan syariah di Terengganu selepas mereka gagal membayar denda yang dikenakan dan tidak mempunyai peguam yang mewakili mereka di mahkamah.
SIS Forum berkata, hukuman sebatan terhadap kedua-dua pasangan tersebut dijadualkan dilaksanakan pada 7 Jun di Penjara Marang.
Menurut kenyataannya, perkembangan terkini termasuk dua kes berkenaan menimbulkan kebimbangan mengenai aspek kesepadanan hukuman, maruah insan, pemulihan pesalah serta tujuan lebih luas sesuatu hukuman dalam sistem keadilan.
Sehubungan itu, mengulas lanjut, Zarani menegaskan bahawa hukuman dalam Islam bukanlah matlamat utama, sebaliknya sebahagian daripada sistem pendidikan dan pencegahan yang bertujuan mengingatkan masyarakat mengenai batas-batas yang perlu dipelihara demi kebaikan bersama.
“Lebih besar daripada hukuman ialah usaha dakwah, pendidikan, tarbiah dan pembinaan akhlak yang sentiasa menjadi keutamaan Islam.
“Kita juga tidak boleh menafikan bahawa keruntuhan institusi keluarga, peningkatan gejala sosial, eksploitasi seksual dan pelbagai masalah moral yang berlaku hari ini memberi kesan paling besar kepada wanita dan anak-anak.
“Justeru, usaha memelihara nilai-nilai moral dan institusi keluarga perlu dilihat sebagai satu tanggungjawab bersama,” jelasnya.
Beliau turut menyeru semua pihak menghormati proses perundangan yang berjalan mengikut lunas undang-undang negara serta membincangkan isu syariah dengan penuh ilmu, adab dan rasa tanggungjawab terhadap masa depan masyarakat.
“Kami yakin bahawa syariat Islam yang dilaksanakan dengan adil, berhemah dan penuh hikmah merupakan sebahagian daripada penyelesaian dalam membina masyarakat yang lebih bermaruah, berintegriti dan sejahtera,” katanya.
Pada 13 Mei 2026, seorang pembantu kedai makan dan pasangannya dijatuhi hukuman enam sebatan (syariah) serta denda keseluruhan RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu selepas mengaku bersalah atas kesalahan khalwat berulang, pada Januari lepas.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof memerintahkan kedua-dua tertuduh dikenakan tiga sebatan dan denda RM3,000 setiap seorang.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Hukuman sebatan itu diperintahkan dilaksanakan di Penjara Marang pada pukul 10 pagi, 7 Jun selepas tamat tempoh rayuan selama 14 hari.
Tertuduh, Anuar (bukan nama sebenar), 26, dan pasangannya, Nurul (bukan nama sebenar), 24, didapati melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kerteh, Kemaman kira-kira pukul 3.15 pagi pada 15 Januari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2021.
Berdasarkan fakta kes, pasangan itu ditahan dalam satu serbuan sebelum pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai hubungan mahram atau dokumen perkahwinan yang sah.
Dalam penghakimannya, Nik Mohd Shahril berkata, mahkamah memandang serius kesalahan berulang yang dilakukan kedua-dua tertuduh memandangkan mereka pernah disabitkan atas kes sama sebelum ini.
Sebelum ini, pasangan berkenaan pernah ditahan atas kesalahan sama pada Januari 2025 sebelum Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 13 Mei tahun lalu menjatuhkan hukuman denda RM2,600 atau penjara tiga bulan terhadap Anuar.
Nurul pula sebelum ini didenda RM2,500 atau penjara dua bulan bagi kesalahan sama.
Terdahulu, Anuar yang bekerja sebagai pembantu kedai makan merayu hukuman diringankan dengan alasan merupakan anak bongsu daripada enam beradik. – HARAKAHDAILY 8/6/2026











