Utamakan isu rakyat berbanding agenda hiburan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Wilayah Persekutuan tidak menolak industri hiburan secara keseluruhannya, namun menegaskan sektor itu tidak boleh dijadikan keutamaan ketika pelbagai isu rakyat masih belum diselesaikan. 

Ketua DHPP Wilayah Persekutuan, Ts Dr Subash Chandrabose M Arumugam menjelaskan, kejayaan sesebuah bandar raya bukan diukur melalui jumlah konsert dianjurkan atau selebriti yang hadir.

- Advertisement -

“Tetapi (kejayaan sesebuah bandar raya diukur) melalui kemampuan rakyatnya hidup dengan selesa, memperoleh pekerjaan yang baik, memiliki rumah yang mampu dibeli dan menikmati persekitaran bandar yang berkualiti,” tegasnya dalam kenyataan.

Beliau menyuarakan pandangan itu susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh Tseow Suan berhubung hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai pemain utama industri hiburan serantau.

Beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kembali kepada asas tanggungjawab mereka iaitu mendengar suara rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat terlebih dahulu.

“Kuala Lumpur mesti menjadi ibu negara yang berfungsi untuk rakyat, bukan sekadar pentas hiburan untuk memenuhi agenda pencitraan politik,” gesa beliau.

Menurutnya, sebagai wakil masyarakat dan Ketua DHPP Wilayah Persekutuan, cadangan itu memperlihatkan kerajaan semakin jauh daripada realiti kehidupan sebenar rakyat Kuala Lumpur.

Tambah beliau, ketika rakyat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup, harga makanan semakin mahal, sewa rumah meningkat, peluang pekerjaan tidak menentu serta tekanan ekonomi yang berpanjangan, kerajaan pula memilih memberi tumpuan kepada agenda hiburan.

“Persoalannya, adakah lebih banyak konsert dan acara hiburan antarabangsa akan mengurangkan beban kos hidup rakyat? Adakah ia akan membantu keluarga muda memiliki rumah mampu milik?

“Adakah ia akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin kronik? Adakah ia akan membantu peniaga kecil yang bergelut untuk meneruskan perniagaan? Jawapannya sudah tentu tidak,” tegasnya.

Beliau berpandangan, Kuala Lumpur ketika ini memerlukan pentadbiran yang memberi fokus kepada perkara benar-benar menyentuh kehidupan rakyat.

Jelasnya, masih terdapat banyak kiosk perniagaan terbiar, kemudahan awam memerlukan penyelenggaraan, masalah kebersihan bandar berulang, isu gelandangan semakin ketara serta pelbagai masalah sosial yang belum ditangani secara menyeluruh.

“Kerajaan sepatutnya memperkasakan ekonomi rakyat, menarik pelaburan berteknologi tinggi, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

“(Termasuk) membantu usahawan tempatan berkembang serta menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang lebih selamat, bersih dan mesra keluarga.
 
“Apa yang rakyat perlukan ialah pembangunan yang membawa nilai, manfaat dan masa depan lebih baik kepada generasi akan datang; bukannya menjadikan hiburan sebagai agenda utama pentadbiran bandar,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/5/2026

- Advertisement -