
SHAH ALAM: Golongan muda disaran mengamalkan disiplin kewangan yang kukuh bagi memastikan kestabilan hidup dalam jangka panjang, terutama dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini.
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri menegaskan bahawa simpanan merupakan elemen asas sering diabaikan, walhal ia menjadi faktor penting dalam menentukan ketenangan hidup seseorang.
“Minimum mesti ada simpanan sekurang-kurangnya tiga bulan kos hidup,” katanya ketika berkongsi pandangan bersama dalam satu podcast Jabatan Profesional Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi pada awal perkahwinan apabila berdepan pendapatan yang kecil, sekitar RM1,100 manakala isterinya memperoleh sekitar RM400.
Menurutnya, walaupun berdepan kesempitan sehingga pernah hanya mempunyai baki RM50 di hujung bulan, beliau tetap bertekad untuk tidak bergantung kepada ibu bapa.
“Saya nekad, walaupun susah, kita tak boleh bergantung kepada orang lain. Bila sudah bekerja dan berkeluarga, kita kena berdikari,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras.
Beliau menjelaskan bahawa disiplin menyimpan perlu dibina sejak awal, walaupun dalam jumlah kecil, kerana ia akan memberi kesan besar dalam jangka panjang.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa salah satu kesilapan besar anak muda hari ini ialah kecenderungan berbelanja melebihi kemampuan, termasuk mengambil komitmen hutang yang tinggi.
“Gaji RM3,000 tapi ambil kereta ansuran RM1,000 lebih, belum kira sewa rumah, makan, bil telefon. Akhirnya kewangan jadi negatif,” katanya.
Tambah beliau, trend memiliki pelbagai kad kredit juga menjadi antara punca utama ramai anak muda terjerumus dalam masalah hutang dan akhirnya berdepan risiko kebankrapan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar anak muda berbelanja berdasarkan keperluan, bukan kehendak, serta mengelakkan gaya hidup bermewah-mewah pada peringkat awal kerjaya.
“Kalau baru mula kerja, tak perlu kejar gaya. Ambil kenderaan yang sederhana, cukup untuk keperluan harian,” tuturnya seperti memberi nasihat seorang bapa.
Selain itu, beliau turut menggalakkan amalan mengasingkan simpanan dengan membuka beberapa akaun berbeza bagi mengelakkan wang simpanan mudah digunakan.
“Kalau semua duit dalam satu akaun, memang susah nak simpan. Sebab itu kena ada akaun berasingan, malah kalau boleh simpan di tempat yang susah untuk dikeluarkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan perlindungan takaful atau insurans sebagai langkah keselamatan, terutama bagi mereka yang telah berkeluarga.
Menurutnya, walaupun komitmen tersebut mungkin dirasakan membebankan pada awalnya, ia sebenarnya memberi manfaat besar pada masa depan.
“Dulu saya potong insurans walaupun gaji kecil. Tapi bila anak-anak besar, kita nampak hasilnya. Ia jadi perlindungan dan juga simpanan,” katanya.
Beliau menambah bahawa ketiadaan simpanan boleh memberi kesan kepada emosi dan kestabilan hidup seseorang.
“Kalau dalam poket tinggal RM30, nak isi minyak pun fikir banyak kali. Itu yang menyebabkan tekanan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa kestabilan kewangan bukan sahaja penting dari sudut ekonomi, tetapi juga memberi ketenangan dalam kehidupan seharian.
“Bila ada simpanan, kita lebih tenang. Sebab itu saya tekankan, mulakan walaupun sedikit, tetapi konsisten,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/5/2026











