
ALOR SETAR: Kedah kini berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai sebuah negeri lebih maju dan makmur berdasarkan prestasi ekonomi semasa serta pengurusan kewangan yang semakin memberangsangkan.
Kejayaan di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyaksikan Kedah bukan sahaja mampu meningkatkan hasil negeri setiap tahun, malah mendapat pengiktirafan daripada pakar-pakar ekonomi.
Penganalisis ekonomi, Dr Mohd Azwardi Md Isa berkata, Kedah mencatatkan pencapaian luar biasa dalam sektor pelaburan sepanjang tahun 2024 dan awal 2025 sehingga muncul antara negeri paling kompetitif dalam menarik pelaburan domestik serta asing.
“Status Kedah sebagai antara negeri teratas yang menerima pelaburan asing juga patut dibanggakan. Malah Kedah juga berjaya menduduki tangga pertama dalam pelaburan diluluskan bagi sektor pembuatan tahun 2025.
“Dengan nilai RM24.6 bilion, setanding dengan Johor dan mengatasi Pulau Pinang (RM22.4 bilion). Secara keseluruhan pelaburan diluluskan, Kedah merekodkan RM27.8 bilion, sekali gus meletakkan negeri ini di tangga kelima dalam negara,” katanya.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Perniagaan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, peningkatan hasil negeri sebanyak 6.11 peratus atau RM47.07 juta daripada RM769.53 juta pada 2024 kepada RM816.60 juta pada 2025.
Pencapaian tersebut dilihat oleh kebanyakan pihak sebagai hasil sebuah pentadbiran yang cekap, berdisiplin dan berhemah, selain menunjukkan pertumbuhan ekonomi konsisten.
Prof Dr Baharom Abdul Hamid daripada Pusat Pendidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (INCEIF) turut menyokong dengan menyifatkan lonjakan hasil tersebut sebagai petunjuk jelas tadbir urus baik dan pengurusan kewangan sistematik.
Kedah juga dilaporkan berjaya mengawal perbelanjaan dengan jumlah peningkatan agak kecil iaitu 1.25 peratus daripada RM758.3 juta (2024) kepada RM767.9 juta (2025), selain menyaksikan kadar penggunaan bajet menurun daripada 88.89 peratus kepada 86.29 peratus.
Lebih membanggakan, Kedah berjaya meningkatkan jumlah surplus kewangan negeri daripada RM11.16 juta pada 2024 kepada RM48.72 juta pada 2025.
Prestasi ekonomi Kedah sering menjadi perhatian berikutan kedudukannya yang secara tradisi dikenali sebagai negeri jelapang padi dengan sumbangan KDNK per kapita yang lebih rendah berbanding negeri-negeri perindustrian di Pantai Barat.
Bagaimanapun, transformasi ekonomi menerusi zon industri seperti Kulim Hi-Tech Park (KHTP) serta pembukaan kawasan perindustrian baharu telah menukar landskap negeri tersebut.
Di bawah pelan strategik “The Greater Kedah“, kerajaan negeri memfokuskan kepada penarikan pelaburan berimpak tinggi dalam sektor pembuatan dan teknologi hijau di mana kini mula menampakkan hasil menerusi lonjakan dana pelaburan diluluskan serta pengukuhan rizab kewangan negeri.
Dr Mohd Azwardi menjelaskan bahawa selaras dengan aspirasi “The Greater Kedah”, kerajaan negeri berjaya mewujudkan ekosistem pelaburan yang kondusif menerusi pemerkasaan ekonomi digital.
Juga katanya, daripada kepelbagaian sumber tenaga, peningkatan sistem pentadbiran, hubungan dalaman antara agensi, serta penambahbaikan jaringan internet dan infrastruktur.
Beliau menambah, keserasian barisan kepimpinan negeri dalam melaksanakan dasar turut menjadi faktor utama yang mengubah persepsi luaran terhadap negeri berkenaan.
“Kedah yang suatu ketika dahulu sering dipandang rendah sebagai negeri miskin kini semakin mendapat perhatian hasil kelebihan sumber alam, kedudukan strategik di utara Semenanjung.
“Selain kepimpinan negeri yang berwawasan, ia dijangka mampu melonjakkan Kedah sebagai sebuah negeri maju,” katanya.
Kejayaan mengekalkan kestabilan kewangan dan merencana ekonomi ini turut mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Baginda menzahirkan kepuasan hati terhadap pelbagai usaha memperkukuhkan ekonomi negeri, selain maklum balas positif daripada Jabatan Audit Negara turut membuktikan disiplin kewangan negeri berada pada tahap baik dan terkawal.
“Rekod kejayaan daripada perancangan dan pelaksanaan yang rapi membuahkan hasil apabila hasil negeri meningkat saban tahun, perbelanjaan terkawal serta kestabilan kewangan terus diperkukuh.
“Keadaan ini membuka ruang lebih luas untuk pembangunan Kedah pada masa depan,” tegas Dr. Mohd Azwardi lagi. – HARAKAHDAILY 29/5/2026











