
PENDAHULUAN
Kini telah ada warganegara Malaysia yang cuba meremehkan kuasa Sultan dan Raja-raja dengan tindakan menyatakan secara terbuka bahawa seseorang tidak akan mengiktiraf titah Sultan.
Ini adalah satu bentuk sikap ekstrem yang boleh mencetuskan salah faham besar terhadap institusi Raja-raja Melayu.
Kenyataan ini membawa naratif menolak pengiktirafan terhadap titah Tuanku dan sangat merbahaya.
Saya berpendapat pemikiran sebegini terjadi adalah disebabkan tanggapan bahawa negeri-negeri di bawah Raja-raja Melayu dulu apabila membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 dan Gabungan yang lebih besar yang dinamakan Malaysia pula terbentuk secara rasminya pada 16 September 1963, melalui penyatuan Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah (Borneo Utara), Sarawak maka kuasa-kuasa Raja-raja telah hilang keseluruhannya seperti sebuah republik.
Negara republik ialah sebuah negara yang ditadbir oleh ketua negaranya (biasanya bergelar Presiden) bukan seorang raja.
Mereka menganggap walaupun negara ini tidak dinamakan negara republik namun kewujudan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai Ketua Negara dan dan Raja sebagai Ketua Negeri adalah simbolik sahaja.
Peranan mereka terhad kepada tugas-tugas diplomatik, kebajikan, dan menjadi lambang perpaduan negara dan adat istiadat sahaja.
Tiada bersangkut paut langsung dengan kuasa eksekutif. Pandangan tersebut mungkin natijah menyamakan Sistem Raja Berperlembagaan di England dan di Malaysia secara keseluruhan. Walaupun ia hampir sama tapi tidak serupa.
Raja Berperlembagaan di Malaysia
Di Malaysia, kuasa eksekutif terletak pada Yang di-Pertuan Agong tetapi dilaksanakan oleh Jemaah Menteri (Kabinet) yang diketuai oleh Perdana Menteri.
Sebagai raja berperlembagaan, baginda bertindak atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri, kecuali dalam beberapa perkara yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Manakala di peringkat negeri kuasa eksekutif negeri secara rasminya terletak pada Sultan atau Raja, namun pelaksanaannya dijalankan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau EXCO.
Sultan bertindak sebagai Ketua Negeri dan menjalankan kuasa eksekutif di bawah peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri bersandarkan nasihat Menteri Besar.
Perlembagaan Persekutuan Malaysia dibentuk melalui gabungan unik Sistem Westminster dari British dan Adat Melayu.
Ia menggabungkan struktur kerajaan moden dengan asas perundangan tradisional tempatan.
Asas perlembagaan negara berakar umbi daripada undang-undang kesultanan Melayu lama.
Antaranya:
Institusi beraja: Mengekalkan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua negeri dan tonggak kedaulatan.
Agama dan adat: Agama Islam dan adat istiadat Melayu diletakkan di bawah bidang kuasa eksklusif Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kesimpulannya, sistem pemerintahan di Malaysia adalah adaptasi moden yang disesuaikan dengan nilai, budaya, dan sejarah tempatan. Kuasa YDPA dan Raja-Raja telah diperuntukan dalam Perlembagaan dan undang-undang.
Itulah maksudnya Raja Berperlembagaan dan menjaga kedaulatan undang-undang. Hinggakan mengenai titah Raja pun diperuntukan dalam Perlembagaan dan undang-undang.
‘Titah’ dalam perlembagaan
Adakah Perlembagaan Persekutuan ada berkaitan dengan ‘titah’ begitu juga dalam undang-undang?
Mungkin kita alpa bahawa Titah Raja ada diperuntukan dalam Perlembagaan seperti di bawah Perkara 60 memperuntukkan:
Perkara 60 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bertitah kepada mana-mana satu Majlis Parlimen (Dewan Rakyat atau Dewan Negara) atau kedua-dua Dewan Parlimen yang bersidang bersama-sama pada bila-bila masa.
Ini menjelaskan bahawa YDPA dan Raja mempunyai hak bersuara. Baginda mempunyai hak untuk menyampaikan titah diraja.
Selain bertitah secara langsung, Yang di-Pertuan Agong juga boleh menghantar mesej kepada mana-mana Dewan Parlimen, dan Dewan tersebut hendaklah mempertimbangkan mesej itu dengan seberapa segera.
Titah dalam perundangan Akta Tafsiran 1948 dan 1967
Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388) adalah undang-undang Persekutuan utama yang menetapkan cara pentafsiran perundangan di Malaysia.
Secara khususnya mengenai ‘titah’ dan undang-undang berkaitan institusi diraja, akta ini mempunyai peruntukan berikut:
1. Tafsiran titah dan perintah diraja.
Walaupun tiada bahagian khusus di dalam Akta 388 yang memberikan takrifan literal untuk perkataan ‘titah’, akta ini berkuat kuasa untuk mentafsirkan pemakaian undang-undang yang dikeluarkan menerusi titah.
Segala peruntukan, warta kerajaan, atau enakmen negeri yang dikeluarkan ‘dengan titah perintah’ tertakluk kepada kuasa pentafsiran akta ini bagi memastikan keseragaman perundangan di Malaysia.
2. Kedudukan titah negeri dan hukum syarak.
Bagi Enakmen-enakmen negeri (terutama yang melibatkan pentadbiran agama Islam dan Raja-raja Melayu), akta ini menetapkan bahawa takrifan perundangan yang menggunapakai tafsiran Akta 388 adalah sah setakat mana ia tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Titah yang sah daripada Sultan atau Yang di-Pertuan Agong dihormati sebagai undang-undang mengikut perlembagaan negeri masing-masing.
Dalam tafsiran undang-undang di Malaysia, ‘titah’ merujuk kepada perintah rasmi, titah perintah, atau keputusan yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu.
Di bawah sistem Raja Berperlembagaan, istilah dan pelaksanaan ‘titah’ mempunyai tafsiran serta had perundangan berikut:
Bukan mutlak: Kuasa diraja termasuk titah adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan undang-undang tertinggi negara (Perkara 4).
Bidang kuasa khusus: Pelaksanaan titah berkait hak pengampunan mesti mematuhi prosedur yang ditetapkan dalam Perlembagaan, seperti yang termaktub di bawah Perkara 42.
Kuasa Kehakiman: Tafsiran undang-undang, kesahihan sesuatu dokumen titah (seperti kes ‘Titah Adendum’ yang mencetuskan perdebatan), dan penguatkuasaan hukuman terletak di bawah bidang kuasa badan kehakiman.
Kedaulatan Undang-undang: Menghormati titah berjalan seiring dengan pematuhan kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan negara.
Kesimpulan
Tindakan pihak-pihak yang berkepentingan sedemikian yang mempunyai niat tertentu membuktikan betapa pentingnya kedaulatan diraja dipertahankan sebagai benteng kestabilan politik.
Penghormatan terhadap institusi beraja adalah kunci utama bagi mengekalkan keseimbangan antara badan eksekutif, perundangan, dan kehakiman.
Justeru, setiap warganegara bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan ini bagi mengelakkan unsur radikal yang mampu menggugat keamanan, sekali gus memastikan Malaysia kekal harmoni dan sejahtera.
Salam hormat dari saya,
PROF MADYA DATO’ MUHAMAD ASRI ABDULLAH
Mantan Ketua Hakim Syarie Perak dan Hakim Rayuan Syarie JKSM, Putrajaya.
Keroh Hulu, Padang Rengas.
Perak – HARAKAHDAILY 25/6/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











