
KUALA LUMPUR: Mempertahankan pendidikan nasional tidak bermaksud menolak kaum, tetapi mempertahankan satu-satunya ruang yang masih mampu menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, Malaysia juga bukanlah negara yang dibina atas asas satu kaum, sebaliknya dibina atas kompromi besar antara pelbagai kaum, agama dan budaya.
“Ada yang tak dapat bezakan, antara persoalan bangsa dengan persoalan dasar negara. Sesiapa yang mempertahankan sistem pendidikan nasional akan segera dituduh anti-Cina, rasis atau tidak menghormati kepelbagaian budaya.
“Malaysia bukan negara yang dibina atas asas satu kaum. Justeru, untuk memastikan negara ini terus aman dan stabil, mesti ada satu titik temu nasional yang dikongsi bersama,” tegasnya lagi.
Bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia itu juga menjelaskan, pendidikan berteraskan kurikulum nasional ialah medium paling penting untuk membentuk identiti bersama sebagai rakyat Malaysia.
Sekolah juga tambahnya, bukanlah sekadar tempat belajar Matematik, Sains atau Bahasa, sebaliknya tempat belajar mengenal rakan berlainan kaum, memahami budaya berbeza, membina empati dan membentuk jati diri kebangsaan.
“Jika sejak kecil setiap kaum dipisahkan dalam sistem pendidikan yang berbeza, maka jangan hairan jika pada usia dewasa mereka sukar memahami antara satu sama lain.
“Sebab itu isu UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) tidak boleh dilihat secara sempit sebagai isu akademik semata-mata. Ia ialah isu dasar negara dan pembinaan bangsa,” hujahnya.
Tegas Dr Haim, hari ini ada pihak yang cuba menormalisasikan kemasukan pemegang UEC ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang kononnya berlandas alasan dan syarat tertentu.
Katanya, syarat yang didakwa mereka hanya terhad kepada program Bahasa Cina, Linguistik dan Bahasa Cina, Pengajian Cina serta Bahasa Cina serta Pendidikan, tidak mengganggu sistem sedia kerana kononnya hanya melibatkan bidang khusus berkaitan bahasa.
Namun kata, adakah perkara itu boleh dipastikan, tuntutan akan berhenti sekadar itu sahaja, sedangkan tawaran program akademik yang dibenarkan serta diluluskan Kabinet ditolak Dong Zong.
Malah ujarnya, Dong Zong tidak berpuas hati dengan pengiktirafan yang bagi mereka bersifat terhad.
Sebab itulah tegas beliau, semua pihak perlu mengambil peringatan, apabila dimulakan dengan alasan kecil, akhirnya ia akan berkembang menjadi tuntutan lebih besar.
“Hari ini program bahasa, esok program ekonomi, lusa kejuruteraan, perubatan dan pelbagai bidang lain pula, akan dituntut atas nama ‘kesaksamaan’.
“Inilah sebabnya mengapa ramai melihat langkah membenarkan UEC dengan syarat kredit Bahasa Melayu dan lulus Sejarah sebagai satu pintu yang sangat berbahaya.
“Walaupun kelihatan kecil, tetapi implikasinya besar terhadap masa depan sistem pendidikan nasional. Syarat kredit Bahasa Melayu dan lulus Sejarah itu sendiri tidak menyelesaikan persoalan asas,” jelas beliau.
Persoalan sebenarnya kata beliau, bukanlah sekadar lulus dua subjek berkenaan, tetapi lebih besar lagi berkenaan pengetahuan serta pengalaman pelajar terlibat berkaitan pendidikan nasional yang sama seperti majoriti rakyat Malaysia lain.
Iaitu kata Dr Haim, sama ada pelajar lepasan UEC membesar dalam ruang sosial yang sama dan berkongsi proses pembinaan identiti kebangsaan serupa, sedangkan pendidikan nasional bukan sekadar peperiksaan tetapi proses pembentukan negara bangsa.
Kerana menurut beliau, sistem pendidikan yang terlalu terpisah akan melahirkan generasi semakin jauh antara satu sama lain.
Berikutan itu katanya lagi, andai anak Melayu, Cina mahupun India tidak membesar dalam ruang pendidikan sama, hubungan antara kaum hanya akan bersifat ekonomi dan urusan kerja semata-mata, di mana kesannya hilang jiwa kebersamaan.
Lebih malang ujarnya, apabila terdapat ahli politik yang sanggup bermain dengan isu demi laba politik jangka pendek, dengan menggambarkan kononnya menerima UEC ialah lambang keterbukaan dan kemajuan.
Sedangkan hakikat sebenarnya pendekatan serta tindakan itu tegas Dr Haim lagi, hanya membuka ruang kepada penghakisan asas pendidikan nasional sedikit demi sedikit.
“Bagi saya ini bukan soal membenci kaum Cina. Kaum Cina ialah sebahagian penting daripada sejarah dan masa depan Malaysia. Ramai rakyat Cina memilih sekolah kebangsaan, menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berjaya cemerlang dalam sistem nasional.
“Mereka membuktikan pendidikan nasional tidak menghalang kecemerlangan bangsa Cina. Bahkan mereka menjadi bukti bahawa integrasi nasional boleh berlaku tanpa mengorbankan identiti budaya,” ujar Exco Pengajian Tinggi Negeri Kedah itu lagi.
Justeru, pendirian serta pendekatan masyarakat Cina yang memilih aliran kebangsaan katanya, wajar dihormati kerana mereka memahami masa depan negara memerlukan titik pertemuan bersama.
Dalam masa yang sama, jelasnya, mereka juga tidak melihat Sekolah-Sekolah Kebangsaan (SK) sebagai ancaman, sebalik bersama-sama menjadikannya ruang membina Malaysia yang lebih bersatu.
Oleh itu, mempertahankan syarat kemasukan ke IPTA mesti berasaskan sistem nasional iaitu SPM ujar Dr Haim, bukanlah tindakan ekstrem malah langkah mempertahankan kontrak sosial pendidikan negara.
Sementara, negara-negara maju yang berjaya juga tegas beliau, membina perpaduan nasional dengan meletakkan sistem pendidikan nasional sebagai teras utama pembinaan identiti negara.
Di mana bagi mereka sekolah ialah medium pembentukan bangsa dan sekiranya dipisahkan mengikut kaum dan identiti tersendiri, negara akan berdepan polarisasi yang semakin membesar.
“Oleh itu, Malaysia tidak boleh terus bergerak ke arah masyarakat yang hidup dalam kelompok masing-masing. Kita memerlukan lebih banyak integrasi, bukannya lebih banyak pemisahan.
“Semua rakyat Malaysia wajar didorong untuk berada dalam aliran pendidikan kebangsaan, mempelajari serta memartabatkan bahasa ibunda agar budaya terus dipelihara.
“Harus diinsafi, negara ini tidak akan hancur akibat perbezaan kaum tetapi akan hancur apabila rakyatnya sudah tidak lagi merasakan mereka berkongsi sebuah tanah air yang sama,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 19/5/2026











