
DUNIA sekali lagi menyaksikan bagaimana regim Zionis Israel bertindak ganas dan biadab terhadap misi kemanusiaan antarabangsa yang mahu memecahkan kepungan zalim ke atas Gaza. Dalam insiden terbaharu, petang 18 Mei 2026 sekurang-kurangnya 18 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) telah dipintas secara agresif di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus, manakala sekitar 150 aktivis kemanusiaan daripada lebih 45 negara ditahan oleh tentera Israel.
Lebih memilukan, 16 rakyat Malaysia turut ditahan ketika membawa suara kemanusiaan untuk rakyat Gaza yang terus dihimpit kelaparan, kemusnahan dan penderitaan. Mereka bukan membawa senjata. Mereka tidak membawa ancaman perang. Mereka membawa nurani kemanusiaan, ubat-ubatan, solidariti dan harapan buat Gaza.
Namun itulah wajah sebenar Zionis Israel — sebuah regim yang takut kepada suara kemanusiaan dunia.
Saya secara peribadi sempat bersama sebahagian aktivis Global Sumud Flotilla ini beberapa hari lalu di Sicilia, Itali dan Marmaris, Turkiye. Saya melihat sendiri semangat mereka. Ada yang datang dari Asia, Eropah, Amerika Latin, Afrika dan Timur Tengah. Mereka meninggalkan keluarga, pekerjaan dan keselesaan hidup demi satu cita-cita besar — membela Gaza yang sedang dizalimi.
Di Sicilia, saya melihat bagaimana kapal-kapal kecil dihias dengan bendera Palestin dan slogan kebebasan. Wajah-wajah para aktivis penuh harapan walaupun sedar risiko ditangkap, diserang malah mungkin tidak kembali. Di Marmaris pula, saya menyaksikan laungan “Free Palestine” bergema di pelabuhan sebelum armada flotilla memulakan pelayaran penuh sejarah menuju Gaza.
Mereka sedar bahawa dunia sedang gagal. Mereka tahu sebahagian kuasa besar dunia memilih untuk membisu.Tetapi mereka tetap belayar.Inilah keberanian manusia merdeka melawan kezaliman moden.
Malaysia harus berdiri teguh di barisan hadapan dalam isu ini. Kerajaan Malaysia mesti terus mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta negara-negara Kesatuan Eropah supaya mengambil tindakan lebih tegas terhadap Israel. Diplomasi sahaja tidak lagi memadai jika dunia terus membiarkan Gaza mati perlahan-lahan akibat kepungan tidak berperikemanusiaan.
Kita mendesak agar semua aktivis yang ditahan dibebaskan segera tanpa syarat. Kita mendesak sekatan ke atas Gaza dihentikan sepenuhnya. Kita mendesak dunia mengiktiraf bahawa tindakan menyerang flotilla kemanusiaan di perairan antarabangsa merupakan pencabulan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
Antara rakyat Malaysia yang ditahan ialah Zainal Rashid Ahmad, Muhamad Muhsin Zaidi, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzzaman, Mohammad Shazly Mohammad Shees, Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari, S. Patmanathan, Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar, Dr. Syakirin Muhamed Senin, Norazman Ishak, Abdul Samad Selamat, Naufa Azhari, Muhammad Zaid Abdul Karim, Mohammad Farizzal Rostam, Osman Zolkifli, Hazwan Hazim Dermawan dan Mohd Shamsir Mohd Isa.
Nama-nama ini harus dikenang sebagai pejuang kemanusiaan sejati yang sanggup mempertaruhkan kebebasan diri demi Gaza.
Saya merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua peserta GSF, termasuk delegasi Sumud Nusantara, NGO-NGO kemanusiaan antarabangsa serta seluruh sukarelawan yang tidak pernah tunduk kepada ugutan Zionis.
Dunia juga tidak boleh melupakan hakikat sebenar di Gaza. Lebih dua juta rakyat Gaza hidup dalam keadaan serba kekurangan sejak perang besar meletus pada Oktober 2023. Infrastruktur musnah, hospital lumpuh, makanan dan ubat-ubatan amat terhad, sementara puluhan ribu nyawa telah terkorban.
Namun rakyat Gaza tetap berdiri. Mereka kehilangan anak-anak, rumah dan keluarga, tetapi mereka tidak kehilangan maruah. Mereka sedang melawan “Firaun moden” abad ini — Benjamin Netanyahu dan regim Zionis yang terus mempertahankan penjajahan, pembunuhan dan penindasan.
Sejarah mengajar kita bahawa setiap kezaliman akhirnya akan tumbang. Firaun tenggelam walaupun memiliki kuasa besar. Apartheid di Afrika Selatan runtuh walaupun disokong kuasa dunia. Penjajahan akhirnya akan kalah apabila manusia terus mempertahankan kebenaran.
Sebab itu masyarakat dunia tidak boleh lemah. Jangan putus asa.Jangan normalisasikan pembunuhan rakyat Palestin.Jangan berhenti bercakap tentang Gaza.
Teruskan tekanan ekonomi, diplomatik dan moral terhadap Israel. Teruskan boikot. Teruskan demonstrasi aman. Teruskan menyebarkan kesedaran. Teruskan membantu NGO kemanusiaan. Teruskan mendidik generasi muda tentang Palestin.Kerana diam terhadap kezaliman adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap kemanusiaan.
Global Sumud Flotilla telah dipintas. Aktivisnya telah ditahan. Tetapi semangat perjuangan mereka tidak akan mampu ditenggelamkan. Gaza akan terus hidup dalam hati manusia merdeka di seluruh dunia. Dan Palestin, insya-Allah, akan kembali merdeka sepenuhnya.
USTAZ AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik
Ahli Jawatankuasa Lujnah Antarabangsa PAS Pusat – HARAKAHDAILY 19/5/2026











