
KOTA BHARU: Kerajaan negeri mahu menjadikan padang bola sepak sebagai ruang melahirkan generasi muda yang berjati diri, berdisiplin dan memiliki karakter positif menerusi penglibatan aktif dalam sukan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, Liga Elit DUN (LED) Kelantan bukan sekadar medan pertandingan tetapi platform membina disiplin, semangat berpasukan, ukhuwah dan kepimpinan dalam kalangan anak muda.
“Ini adalah ruang untuk anak muda mengekspresikan bakat mereka. Kita mahu lebih ramai pemain berbakat dari kampung dan DUN diketengahkan sehingga mampu melangkah ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kejohanan Bola Sepak Liga Elit DUN Negeri Kelantan Musim 2026 di sini, yang menyaksikan semua pasukan bertanding masing-masing menerima sumbangan bola sepak dan speaker.
Turut hadir dalam majis perasmian berkenaan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Bahari Mohamad Nor dan Timbalan Pengarah Urusetia Belia dan Sukan (U-BeS) Negeri Kelantan, Muhammad Firdaus Mohamed Naw
Pada majlis itu, Zamakhshari turut mengumumkan kerajaan negeri memperuntukkan tajaan RM10,000 bagi membantu Johan dan Naib Johan Piala Menteri Besar (MB) menyertai Liga A3 musim ini.
Menurutnya, bantuan berkenaan komitmen kerajaan negeri dalam membuka laluan kepada pasukan terbaik LED Kelantan melangkah ke tahap lebih tinggi secara lebih tersusun.
“Kerajaan negeri akan menaja RM10,000 bagi membantu pemenang Piala MB menyertai Liga A3 kepada Johan dan Naib Johan Piala MB sebagai bantuan penyertaan,” jelasnya.
Tambah beliau, ramai pemain berbakat negeri bermula daripada pertandingan akar umbi termasuk pemain Kelantan WTS FC yang pernah beraksi di peringkat DUN sebelum menyerlah di pentas lebih tinggi.
Beliau turut mengingatkan semua pemain dan pengurusan pasukan agar menjaga disiplin, akhlak serta semangat kesukanan sepanjang kejohanan berlangsung.
“Tahun lalu kejohanan berjalan dengan baik walaupun terdapat beberapa insiden kecil akibat emosi perlawanan.
“Namun budaya negatif seperti pergaduhan tidak boleh dinormalisasikan dan pengurusan pasukan perlu memainkan peranan penting dalam mengawal pemain,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memberi jaminan kerajaan negeri terus memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur sukan menerusi agenda Satu DUN Satu Padang Bola.
Katanya, lebih 85 peratus DUN di Kelantan kini memiliki padang bola sepak yang sempurna manakala beberapa kawasan lain masih menggunakan padang sekolah dan kemudahan sedia ada untuk aktiviti setempat.
“Kerajaan negeri akan memberi perhatian serius supaya setiap DUN mempunyai padang bola sepak yang selesa,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan syarat penyertaan LED musim ini diperketatkan dengan menetapkan pemain mesti berdaftar sebagai pemilih di DUN atau Parlimen yang diwakili bagi memastikan persaingan lebih adil dan seimbang.
“Langkah itu bertujuan memberi peluang lebih saksama kepada anak muda tempatan menonjolkan bakat tanpa perlu bersaing dengan pemain luar yang diimport,” jelasnya.
Dalam masa sama beliau berkata kerajaan negeri sedang mempertimbangkan pembinaan litar motocross di Pasir Puteh sebagai sebahagian usaha memperluas pembangunan sukan belia.
“Apabila anak muda sibuk dengan aktiviti bermanfaat, mereka akan terhindar daripada gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah, lumba haram dan budaya lepak.
“Kita mahu tenaga dan semangat anak muda disalurkan kepada perkara positif serta memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/5/2026











