‘Buku Jingga punca pecah belah Pakatan Rakyat!’

Pemuda PAS bidas Anthony Loke

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar mempersoalkan sama ada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sedar bahawa Buku Jingga menjadi antara punca perpecahan dalam Pakatan Rakyat (PR).

- Advertisement -

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Anthony Loke yang dilaporkan mengaitkan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan Buku Jingga yang merupakan manifesto Pakatan Rakyat pada 2013.

Anthony mendakwa Tuan Guru pernah mengangkat dokumen berkenaan yang turut mengandungi janji pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Dalam dakwaannya itu Anthony berkata, perkara itu perlu diingatkan semula kepada ahli PAS supaya tidak memutar belit isu tersebut.

Walau bagaimanapun, Khairul Nadzir menjelaskan, perpecahan itu berlaku apabila manifesto berkenaan membawa terlalu banyak agenda DAP yang menyentuh perkara sensitif selain mengandungi percanggahan dasar yang bertentangan dengan perjuangan PAS.

Menurut beliau, percanggahan dasar itu sehingga membawa kepada keputusan DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS.

“Yang ini tak nak pula didedahkan!” tempelak beliau dalam media sosial miliknya, hari ini

Tindakan Anthony ‘menunggang’ isu tersebut, tegas Khairul Nadzir, berlaku selepas penjawat awam dan pihak berkaitan membongkar cerita sebenar berkenaan isu UEC dan sekolah tahfiz.

“Lepas tu, bila semua penjawat awam dan pihak yang terlibat membongkar cerita sebenar, dia ‘tunggang’ pula Presiden PAS dan siap tayang gambar Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pegang Buku Jingga yang menjadi lambang manifesto semasa zaman Pakatan Rakyat.

“Apatah lagi ada manusia yang DAP ‘tunggang’ daripada PAS yang semuanya telah masuk PAN yang menjadi ‘pak turut’ bagi memuaskan nafsu DAP bagi menjatuhkan kerajaan ketika itu,” bidasnya.

Dalam masa sama, beliau mengkritik Anthony yang disifatkan gemar ‘menunggang’ pelbagai isu termasuk berkaitan UEC.

“Dalam bab UEC ni sahaja, semuanya ‘ditunggang’. Mula-mula ‘menunggang’ institusi tahfiz yang selama ini patuh dan ikut semua Dasar Pendidikan Kebangsaan yang memerlukan SPM penuh untuk masuk ke IPTA.

“Dan tidak dilihat mana-mana individu atau institusi pondok atau tahfiz agresif menuntut untuk ‘short-cut’ masuk ke IPTA, macam yang dibuat Dong Zong dengan memperkudakan DAP ‘chauvinis’ sehingga mengganggu sistem pendidikan negara,” tempelaknya lagi.

Khairul Nadzir turut menyifatkan DAP sebagai kumpulan berbahaya yang hanya menurut kepentingan politik bagi mencapai matlamat tertentu.

“Benarlah, DAP ini adalah kumpulan berbahaya yang hanya menuruti nafsu politik kebinatangan untuk mencapai apa sahaja. DAP ini wajib dikeluarkan daripada Kerajaan pada masa akan datang.

“Cuma begitulah. Kemungkinan ada parti yang pura-pura berjuang untuk Melayu Islam dan negara bakal menyambung nyawa DAP sebagai anggota kerajaan akan datang. Tahu kan siapa?” katanya. – HARAKAHDAILY 19/5/2026

- Advertisement -