
KOTA BHARU: Kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap kemelut membabitkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan bakal menganjurkan beberapa program serta usaha bagi mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap isu berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, isu berkaitan KAFA tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana memberi kesan kepada pembangunan bola sepak rakyat di negeri ini.
Menurutnya, dalam beberapa perbincangan bersama pihak berkaitan, antara isu utama yang dibangkitkan ialah melibatkan konvensyen, proses pemilihan serta tekanan yang berlaku dalam beberapa persatuan jajahan di bawah KAFA.
“Keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap isu berkenaan. Insya-Allah, beberapa program dan usaha akan dianjurkan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap kemelut KAFA,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Liga Elit DUN Kelantan Musim 2026 di sini.
Menurutnya lagi, keadaan bola sepak negeri kini semakin bercelaru apabila terlalu banyak liga diwujudkan secara berasingan termasuk liga komuniti dan liga rakyat tanpa penyelarasan yang jelas
Katanya, selagi KAFA masih berada dalam keadaan tergantung, persatuan itu tetap menjadi badan induk utama dalam setiap urusan berkaitan bola sepak negeri.
“Kalau kita lihat sekarang, persatuan bola sepak hanya mempunyai satu badan induk di peringkat negeri. Jadi selagi badan induk itu berada dalam keadaan ‘mati hidup’, walaupun tergantung sekali pun, ia tetap menjadi rujukan utama dalam setiap mesyuarat dan urusan berkaitan bola sepak,” jelasnya.
Tambah beliau, timbul juga cadangan supaya diwujudkan satu badan induk baharu bagi mengawal selia aktiviti bola sepak negeri secara lebih tersusun dan berkesan.
“Sekiranya isu KAFA terus gagal diselesaikan, maka masalah bola sepak rakyat akan terus berlarutan tanpa penyelesaian sebenar,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/5/2026











