PASTI: Jangan rasa kerdil laksana tugas jemaah

- Advertisement -

SANDAKAN: Yang Dipertua PAS Kawasan Libaran, Abdul Waheed Mohamad berkata, perkembangan PASTI pada hari ini membuktikan kesungguhan jemaah dalam memartabatkan pendidikan Islam sejak usia awal kanak-kanak.

- Advertisement -

Menurut beliau, pada peringkat awal penubuhan PASTI, pihak pengurusan tidak pernah terfikir untuk memiliki rumah atau bangunan sendiri kerana ketika itu kemampuan hanya sekadar menyewa premis bagi menjalankan operasi pendidikan.

Namun, katanya, hasil sokongan dan sumbangan masyarakat, PASTI kini berjaya membeli premis serta bangunan dan pejabat sendiri.

“Pada awal penubuhan PASTI, kita tidak pernah terfikir untuk beli rumah atau bangunan, kita mampu sewa sahaja.

“Alhamdulillah, berkat sumbangan orang ramai, hari ini kita dapat membeli premis dan bangunan pejabat PASTI,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Guru PASTI Kawasan Sandakan dan Beluran di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Beliau turut mengingatkan guru-guru PASTI agar terus istiqamah dalam mendidik anak-anak serta tidak berasa menyesal menjadi sebahagian daripada institusi pendidikan tersebut.

Tambahnya, para guru juga tidak seharusnya berasa kerdil dalam melaksanakan tugas dan amanah jemaah kerana setiap pengorbanan yang dilakukan mempunyai nilai besar di sisi Allah SWT.

“Guru-guru jangan pernah ada rasa menyesal kerana berada di PASTI. Jangan pernah rasa kerdil dalam melakukan kerja-kerja jemaah. Buatlah sebaiknya, insya-Allah besar pahala menanti,” ujarnya.

Majlis bertemakan “Guru Haraki Pemangkin Kekuatan Jemaah” itu diadakan bertujuan meraikan guru-guru sempena sambutan Hari Guru 16 Mei dan berlangsung pada jam 8 malam.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Sabah, Mustaman Mustain, Yang Dipertua PAS Batu Sapi, Masru Mustakim, Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri, Aqmadi Hamsi, Pengerusi PASTI Sandakan, Sukriadi Osman, Ketua Dewan Muslimat PAS Sandakan, Misnah Tasman serta Ketua Majlis Guru PASTI Sandakan, Rosdiana Djamali.

Dalam majlis itu, Nurbaya Madi telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Guru Cemerlang PASTI Kawasan Sandakan dan Beluran atas dedikasi serta komitmennya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Selain itu, Suraya Lunosalen menerima Anugerah Guru Istiqamah, manakala Nadzlina Baddon menerima Anugerah Guru Harapan.

Bagi kategori pengurus pula, Anugerah Pengurus Cemerlang diberikan kepada Muhammad Syarif Dulming, Anugerah Pengurus Istiqamah kepada Mohd Ramlan Pandi dan Anugerah Pengurus Harapan kepada Ahmad Syifa Abdul Rahim.

Sementara itu, Dayang Nurasikin Awang Ismail menerima Anugerah Staf Cemerlang.

Turut diberikan Anugerah Penaziran Cemerlang Bilangan 1 kepada Norazliana Bansing, Rosdiana Djamali dan Siti Umairah Abdullah. – HARAKAHDAILY 19/5/2026

- Advertisement -