
KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya segera mengambil tindakan lebih tegas, menyeluruh dan berkesan berhubung isu penternakan babi di negeri itu.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan Negeri Selangor juga perlu memastikan setiap titah Sultan Selangor didukung dengan penuh tanggungjawab.
“Menghormati institusi Raja bukan sekadar retorik, tetapi menuntut tindakan yang jelas dan berkesan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurut beliau, jika teguran Sultan Selangor terus tidak dipedulikan, ia bukan sahaja mencerminkan kelemahan pentadbiran, malah boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri.
“Maka jelaslah bahawa rakyat Selangor memerlukan sebuah kerajaan yang benar-benar menjaga kebajikan rakyat, memelihara keharmonian masyarakat.
“Dan menjunjung kedudukan institusi Raja serta prinsip Rukun Negara sebagai asas utama pembangunan negeri,” terangnya.
Beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap sikap Kerajaan Negeri Selangor yang dilihat tidak serius mendukung titah Sultan Selangor berhubung isu penternakan babi di negeri itu.
Beliau menegaskan, keprihatinan Sultan Selangor terhadap isu berkenaan sudah dizahirkan berulang kali termasuk melalui kenyataan media pihak Istana pada 10 Februari lalu.
Tambah beliau, titah Baginda ketika pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 20 April lalu serta kenyataan tegas pihak Istana pada 7 Mei lalu.
“Teguran berterusan ini jelas menunjukkan bahawa isu penternakan babi di Selangor mendapat perhatian serius daripada Baginda Tuanku.
“Pastinya Baginda maklum bahawa isu ini berkait rapat dengan pencemaran alam sekitar, pengurusan sisa yang tidak memuaskan, sensitiviti masyarakat setempat serta kesejahteraan rakyat,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Dalam pada itu, beliau berpandangan reaksi kerajaan negeri setakat ini masih belum mencerminkan kesungguhan sewajarnya walaupun teguran sudah dibuat berulang kali oleh Sultan Selangor.
Tambah beliau, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila terdapat pihak tertentu secara terbuka mengeluarkan kenyataan yang dilihat tidak selari dengan semangat titah Sultan Selangor.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan terhadap kesungguhan kerajaan negeri dalam mendukung titah Baginda serta menangani isu ini secara menyeluruh.
“PAS memandang serius perkara ini kerana ia bukan sekadar isu pentadbiran, tetapi turut menyentuh kedaulatan institusi Raja dan kedudukan Sultan sebagai Ketua Negeri,” tegasnya yang juga Ketua Pembangkang DUN Pahang.
Beliau menambah, kegagalan mendukung titah Sultan Selangor secara bersungguh-sungguh hanya akan membuka ruang kepada pihak tertentu untuk terus mencabar batas yang sepatutnya dihormati.
“Isu ini perlu ditangani dengan lebih tegas dan konsisten. Kegagalan menyelesaikan isu yang telah berlarutan hanya akan menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri tidak menterjemahkan komitmen mereka dalam bentuk tindakan sebenar,” katanya. –
HARAKAHDAILY 8/5/2026











