Mydin Jabi pacu ekonomi setempat

- Advertisement -

BESUT: Pembukaan cawangan baharu pasar raya Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) di Jabi dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta membuka lebih banyak peluang pasaran kepada pengusaha hasil tani tempatan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, kehadiran pasar raya itu mampu melengkapkan rantaian nilai pasaran khususnya bagi sektor pertanian yang menjadi antara sumber ekonomi utama kawasan berkenaan.

Menurutnya, Mydin berpotensi menjadi platform strategik bagi memasarkan hasil pertanian tempatan ke pasaran lebih luas selain membantu pengguna mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan.

“Langkah ini merupakan satu perkembangan positif dalam membantu ekonomi keluarga di Jabi.

“Tambahan pula, pengguna masa kini semakin bijak dalam menilai dan memilih tawaran terbaik yang mampu memberi nilai tambah kepada perbelanjaan mereka,” katanya ketika merasmikan pembukaan pasar raya itu di sini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Mydin, Ahimmat Mydin.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, pembukaan pasar raya berkenaan turut dijangka memberi kesan limpahan ekonomi menerusi penyediaan peluang pekerjaan dan ruang perniagaan kepada penduduk sekitar.

Pasar raya setingkat yang dibina di atas keluasan 38,151 kaki persegi itu menawarkan lebih 10,935 unit stok simpanan (SKU) meliputi barangan runcit, makanan segar, pakaian dan kelengkapan rumah.

Dalam pada itu, Mydin turut memperluaskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi inisiatif Mydin Prihatin bagi membantu golongan memerlukan di kawasan sekitar.

Sempena pembukaan rasmi cawangan berkenaan, pelbagai promosi istimewa ditawarkan bermula 7 hingga 10 Mei ini termasuk ayam pada harga RM1 seekor bagi 100 pelanggan pertama ahli Meriah serta ikan bawal emas RM3.99 seekor.

Turut ditawarkan ialah mi kuning pada harga 10 sen, minyak masak 5 kilogram (kg) RM29.89 dan beras putih import 10 kg pada harga RM28.99 berbanding harga asal RM35.85. – HARAKAHDAILY 8/5/2026

- Advertisement -