Karnival Al-Abrar temui warga 9-17 Mei, Bentong

- Advertisement -

BENTONG: Maahad Tahfiz Al-Quran Dar Al-Abrar akan menganjurkan Karnival Al-Abrar Bersama Masyarakat Bentong sebagai usaha strategik bagi mendekatkan institusi pendidikan Islam dengan komuniti setempat melalui pelbagai pengisian ilmiah dan riadah.

- Advertisement -

Karnival berlangsung di beberapa lokasi sekitar daerah ini bertujuan utama mengeratkan hubungan silaturrahim antara warganya dengan penduduk setempat, selain menjadikan Pondok Dar Al-Abrar sebagai pusat tarbiah dan dakwah yang mesra komuniti.

Mudir Maahad Tahfiz Al-Quran Dar Al-Abrar, Ustaz Roslan Md Esa berkata, penganjuran karnival ini bukan sekadar untuk menyemarakkan budaya ilmu, malah menjadi ruang aktiviti kekeluargaan yang sihat bagi semua peringkat umur.

“Sedekah yang paling utama adalah air (untuk minum), kemudian tempat yang teduh (untuk berehat),” katanya memetik riwayat al-Tirmizi sebagai inspirasi kepada semangat kebajikan yang cuba diterapkan dalam karnival ini.

Program utama bermula pada esok Sabtu, 9 Mei 2026, dengan Forum Hal Ehwal Islam bertajuk “Dari Mana Asal Kita? Ke Mana Selepas Ini?” yang diadakan di Masjid Al-Ihsan, Jambu Rias selepas waktu Maghrib.

Forum yang bakal menyemarakkan peringatan kepada umat terhadap muhasabah diri dan hala tuju hidup tersebut menampilkan panelis terkenal, Ustaz Jafri Abu Bakar Al-Mahmoodi dan Ustaz Roslan Md Esa sendiri.

Kemuncak karnival pada Jumaat, 15 Mei 2026, menyaksikan pengisian padat bermula jam 10 pagi dengan Kuliah Dhuha Istimewa bertajuk “Didik Keluarga dengan Hikmah dan Rahmah” oleh Ustazah Asma’ Harun di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

Pada sebelah malam hari yang sama, suasana Pondok Dar Al-Abrar bakal disinari dengan majlis Maulid Dhiaul Lami’ dan Qasidah “Malam Selawat dan Cinta Rasul” selepas waktu Maghrib.

Serentak dengan itu, Forum 4 Mudir turut diadakan di lokasi sama yang menampilkan barisan mudir berwibawa iaitu Ustaz Nazmi Abd Karim, Ustaz Zuridan Daud, dan Ustaz Dr Ahmad Dasuki Abd Rani, dengan dikendalikan oleh Ustaz Roslan Md Esa sebagai moderator.

Selain pengisian kerohanian, aspek jasmani turut diberi tumpuan melalui Kejohanan Futsal Piala Abrar Care Malaysia 2026 yang dijadualkan pada 16 Mei (Bawah 12 tahun) dan 17 Mei (Bawah 17 tahun) di Padang Futsal Abrar.

Kejohanan ini menawarkan hadiah wang tunai mencecah RM400 beserta pingat dan hamper, bertujuan melahirkan generasi yang aktif dan berdisiplin.

Ustaz Roslan menambah, karnival ini juga memberi peluang kepada usahawan kecil tempatan menjana pendapatan melalui tapak jualan yang disediakan, selain mengumpul dana bagi pembangunan dan operasi Maahad Tahfiz serta Pondok Dar Al-Abrar.

“Semoga setiap sedekah menjadi saham akhirat yang berpanjangan. Jom bersama menyumbang untuk keselesaan pelajar. Kesejukan hari ini, pahala berterusan hingga akhirat,” ujarnya.

Masyarakat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Ustaz Roslan di talian 013-388 8286 atau melalui akaun Maybank Islamic (Maahad Tahfiz Al-Abrar) 5561 3205 1813.

Program ini mendapat kerjasama erat daripada Masjid Al-Ihsan dan Majlis Perbandaran Bentong, sekali gus mengangkat imej Bentong sebagai bandar yang aktif dengan agenda pembangunan ummah. – HARAKAHDAILY 8/5/2026

- Advertisement -