Hantavirus: Penumpang M/V Hondius dari 12 negara, pulang

Negara-negara seluruh dunia berusaha cegah wabak penyakit itu

Ratusan penumpang kapal M/V Hondius, lokasi penularan wabak Hantavirus kini telah kembali ke negara masing-masing.
- Advertisement -

AMSTERDAM: Negara-negara di seluruh dunia kini berusaha untuk mencegah penyebaran Hantavirus, selepas wabak itu menyerang kapal persiaran M/V Hondius yang belayar di Lautan Atlantik, dengan menjejaki penumpang yang telah turun dari kapal tersebut sebelum virus itu dikesan dan sesiapa sahaja yang berhubung rapat dengan mereka sejak itu.

Tiga orang penumpang M/V Hondius, pasangan suami isteri warga emas Belanda dan seorang lelaki warganegara Jerman meninggal dunia di atas kapal berkenaan.

- Advertisement -

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kenyataannya pada Khamis berkata, secara keseluruhan, lima orang disahkan dijangkiti virus itu, dengan tiga lagi kes yang disyaki turut mengalami jangkitan, yang mana hantavirus biasanya disebarkan oleh tikus tetapi dalam kes yang jarang berlaku boleh berjangkit dari manusia ke manusia.

“Semua penumpang yang turun di St Helena di Lautan Atlantik Selatan, lokasi kapal itu berlabuh seketika pada 24 April 2026, juga telah dihubungi,” kata pengendali kapal berkenaan Oceanwide Expeditions dakam satu kenyataan, lapor Reuters.

Menurut kenyataan itu, penumpang-penumpang berkenaan sekurang-kurangnya dari 12 negara, antaranya tujuh warganegara British dan enam dari Amerika Syarikat.

Penumpang pertama yang disahkan dijangkiti virus tersebut, lelaki Belanda berusia 70 tahun meninggal dunia pada 11 April 2026, ketika kapal itu menuju ke Tristan da Cunha.

Bukan COVID-19

Sementara WHO mengulangi kenyataan bahawa risiko kepada orang awam adalah rendah walaupun strain virus Andean yang ditemui pada beberapa mangsa, dalam kes yang jarang berlaku boleh berjangkit dalam kalangan manusia.

Dalam sidang media pada Khamis, Pengarah Pengurusan Wabak dan Pandemik WHO, Maria Van Kerkhove berkata, wabak itu bukan COVID-19.

“Ia adalah virus yang sangat berbeza. Ubu bukan situasi yang sama seperti yang kita alami enam tahun lalu,” katanya.

Menurut beliau, WHO sedang mengusahakan panduan langkah demi langkah apabila berpuluh-puluh penumpan kapal itu, yang belayar ke Kepulauan Canary, tiba di sana pada hari Sabtu atau Ahad turun di situ sebelum pulang ke negara masing-masing.

“Tiada seorang pun daripada penumpang ini pada masa ini mempunyai sebarang gejala,” jelasnya.

Terdahulu, menurut dokumentasi Oceanwide Expeditions, M/V Hondius telah meninggalkan Ushuaia di selatan Argentina sekitar bulan Mac 2026 dalam pelayaran yang dipasarkan sebagai ekspedisi alam semula jadi Antartika, dengan kos dikenakan kepada setiap penumpang antara USD16,000-USD25,000) dengan membawa 150 penumpang, tidak termasuk anak-anak kapal.

Pramugari kapal terbang KLM turut dijangkiti

Dalam pada itu, Oceanwide Expeditions dalam kenyataannya berkata ia kini sedang berusaha untuk mendapatkan butiran semua penumpang dan anak kapal yang menaiki dan turun di pelbagai perhentian sejak 20 Mac.

Isteri lelaki Belanda yang meninggal dunia di atas M/V Hondius, dan yang dipercayai merupakan kes pertama wabak hantavirus di atas kapal berkenaan, sebelum ini telah menaiki pesawat untuk pulang ke negaranya pada 1 April lalu.

Syarikat penerbangan Belanda KLM dalam kenyataannya mengesahkan ia telah membawa wanita Belanda itu keluar dari pesawat di Johannesburg pada 25 April kerana keadaan perubatannya yang semakin merosot, namun wanita itu meninggal dunia sebelum sempat tiba di Belanda.

Menurut penyiar RTL, seorang pramugari KLM yang telah berhubung dengan wanita berkenaan telah dimasukkan ke hospital di Amsterdam selepas menunjukkan kemungkinan simptom hantavirus.

“Kru dan penumpang yang membantu wanita Belanda yang meninggal dunia itu dipanggil setiap hari untuk pemeriksaan kesihatan,” ujar kenyataan pihak berkuasa Belanda memberitahu penyiar awam NOS.

Dua warga Singapura kini dikuarantin

Sementara Agensi Penyakit Berjangkit Singapura (CDA) berkata pada Khamis bahawa dua penduduk Singapura yang turut berada di atas kapal MV Hondius kini diasingkan di Pusat Kebangsaan untuk Penyakit Berjangkit, di mana mereka sedang diuji untuk virus tersebut.

“Keputusan ujian mereka masih belum diketahui. Seorang mengalami hidung berair tetapi keadaannya baik, dan seorang lagi tidak menunjukkan sebarang gejala. Risiko kepada orang awam di Singapura kini rendah,” kata CDA dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan CDA itu lagi, kedua-dua penumpang lelaki-lelaki, yang merupakan seorang rakyat Singapura berusia 67 tahun dan seorang penduduk tetap Singapura berusia 65 tahun telah turun dari M/V Hondius dan juga berada dalam penerbangan yang sama dengan mangsa kes hantavirus yang disahkan dari St Helena ke Johannesburg pada 25 April.

Warga Belanda, Jerman, Switzerland dimasukkan ke hospital

Dalam pada itu, Oceanwide Expeditions mengesahkan tiga penumpang yang mengalami sindrom Hantavirus trelah dipindahkan dari kapal tersebut pada hari Rabu lalu, lapor Sky News.

“Dua daripaanya telah dimasukkan ke hospital di Belanda, manakala seorang lagi dipindahkan ke Jerman untuk rawatan perubatan.

“Martin Anstee, seorang pemandu ekspedisi, adalah salah seorang daripada dua mangsa yang dipindahkan di hospital di Belanda,dan mereka berada dalam keadaan stabil tetapi masih banyak ujian yang perlu dilakukan,” ujar kenyataan itu.

Klinik Universiti Düsseldorf, yang merawat mangsa warga Jerman itu pula, berkata mangsa bukan kes yang disahkan positif Hantavirus tetapi sebaliknya merupakan kontak dan sedang menjalani ujian klinikal.

Di Switzerland pula, seorang lelaki yang menaiki kapal persiaran tersebut telah dimasukkan ke hospital dan disahkan positif jangkitan virus berkenaan.

Sementara, seorang warganegara Denmark yang turut menaiki kapal M/V Hondius telah pulang ke rumahnya dan dinasihatkan untuk mengasingkan diri sebagai langkah berjaga-jaga.

Di Kanada, pegawai kerajaan negeri itu berkata bahawa dua rakyat Kanada dalam kapal persiaran itu pulang ke rumah sebelum wabak itu dikenal pasti dan seorang lagi rakyat Kanada berada dalam penerbangan yang sama dengan individu yang bergejala, namun ketiga-tiga mereka didapati mengalami gejala penyakit tersebut. – HARAKAHDAILY 8/5/2026

- Advertisement -