‘Full Stop!’ Tapi masih ada yang lawan titah Sultan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pendirian tegas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penternakan babi di negeri itu disifatkan sebagai langkah bijaksana yang mengutamakan kepentingan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian negeri.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menyatakan sokongan penuh terhadap titah berkenaan yang menurutnya dibuat berdasarkan pertimbangan menyeluruh, termasuk aspek sumber air, pencemaran serta tekanan kos sara hidup sedang dihadapi rakyat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang berkata, pendirian Tuanku Sultan jelas dibuat atas pertimbangan maslahat rakyat, kelestarian alam sekitar, sumber air dan keharmonian negeri.

“Dalam keadaan rakyat sedang berdepan pelbagai isu kos sara hidup dan pencemaran alam, titah Tuanku ini memperlihatkan kebijaksanaan seorang Raja,” katanya menerusi kenyataan media di laman sosial.

Beliau menegaskan, isu penternakan babi sepatutnya telah lama diselesaikan selaras dengan titah Sultan Selangor yang mahu perkara itu dihentikan sepenuhnya.

“Isu ini sepatutnya telah lama ‘full stop’ sebagaimana yang ditegaskan oleh Tuanku,” ujarnya yang juga Ketua Portfolio Kesihatan Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau, masih terdapat pihak tertentu yang cuba mempolitikkan isu berkenaan walaupun pendirian Istana telah diperjelaskan, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Bila Sultan sudah bertitah dengan jelas, masih ada yang buat-buat tidak faham, seolah-olah suara kelompok tertentu lebih besar daripada suara institusi Raja dan keresahan rakyat,” katanya lagi.

Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap tindakan segelintir pihak yang lebih cenderung mempertahankan agenda tertentu tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat serta risiko pencemaran pun telah lama dibangkitkan.

Dalam masa sama, beliau menggesa kerajaan negeri memberi tumpuan kepada isu asas rakyat seperti pengurusan sampah dan penyelesaian banjir kilat yang semakin meruncing, selaras dengan titah Sultan sebelum ini.

“Rakyat Negeri Selangor berhak untuk mendapatkan kualiti pengurusan sampah dan penyelesaian terhadap isu banjir kilat yang semakin meruncing selaras dengan titah Tuanku sebelum ini,” tegasnya.

Tambah beliau, nilai tanah yang tinggi serta ruang pembangunan terhad di Selangor menuntut kebijaksanaan dalam merancang pembangunan benar-benar memberi manfaat besar kepada rakyat.

“Gunakanlah kebijaksanaan untuk pembangunan yang membawa manfaat besar kepada rakyat, bukannya menambah polemik yang hanya mengundang kemarahan masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya menghormati institusi Raja, mendengar suara rakyat serta menghentikan polemik terhadap perkara yang telah diputuskan secara jelas oleh Sultan Selangor.

“Hormatilah institusi Raja, dengarlah suara rakyat dan berhentilah menjadi jaguh dalam perkara yang jelas ditolak oleh Sultan Selangor,” katanya.

Terdahulu, menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah semalam, lalu, Sultan Sharafuddin menegaskan Baginda kekal dengan pendirian tidak berkenan terhadap sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani berkata, pendirian tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai implikasi, termasuk risiko pencemaran terhadap tanah, udara serta sumber air melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan babi.

Menurut beliau, Baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada kira-kira sembilan juta penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selain itu, jelasnya, kaedah penternakan moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos yang amat tinggi, tidak praktikal serta sukar dilaksanakan hanya bagi memenuhi bekalan daging babi di Selangor sahaja. – HARAKAHDAILY 8/5/2026

- Advertisement -