
KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Sabri Mamat menyifatkan dakwaan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim bahawa sektor pelancongan di Pulau Langkawi ‘merosot mendadak’ sebagai tidak tepat dan tidak mengambil kira konteks sebenar industri pelancongan.
Beliau berkata, perbandingan yang dibuat antara Langkawi dengan Phuket dan Bali juga disifatkan terlalu jauh serta tidak mengambil kira perbezaan skala dan struktur pasaran pelancongan bagi setiap destinasi.
“Teresa Kok ‘terciduk’ lagi. Dakwaan beliau sebelum ini pelancongan di Pulau Langkawi ‘Merosot’. Bukan hanya merosot, beliau tambah rempah, ‘merosot mendadak’. Merosot mendadak maksudnya menurun yang teruk. Tapi betul ke begitu?
“Dan kali ini beliau bandingkan Pulau Langkawi dengan Phuket dan Bali? Dia dah terciduk sekali, fakta dah salah, sekarang ni dia nak tambah lagi salah,” bidasnya dalam media sosial milik beliau.
Beliau berkata demikian susulan dakwaan Teresa Kok yang memberi amaran bahawa Malaysia tidak boleh menjadi ‘lesu’ seperti Langkawi akibat dasar yang menjejaskan sektor pelancongan.
Teresa turut mendakwa bahawa kegagalan tadbir urus di Langkawi telah menyebabkan penurunan ketara pelancong asing dan domestik.
Menurutnya, situasi itu perlu dijadikan pengajaran supaya Malaysia tidak mengalami kemerosotan mendadak sama dalam industri pelancongan.
Namun Sabri berkata, jumlah pelancong semasa menunjukkan Phuket menerima lebih 13 juta pelawat setahun, manakala Langkawi sekitar 3.2 juta pada 2025, namun jurang itu sudah wujud sejak sebelum pandemik COVID-19 lagi.
“Pada 2019, Phuket sudah menerima sekitar 14.5 juta pelancong, manakala Langkawi sekitar 3.92 juta. Ini menunjukkan Phuket memang berada pada skala yang jauh lebih besar sejak awal, bukan kerana lonjakan mendadak kebelakangan ini,” hujahnya.
Sabri menjelaskan bahawa, semasa pandemik kedua-dua destinasi mengalami kejatuhan ketara, malah Phuket terjejas lebih teruk kerana lebih bergantung kepada pelancong antarabangsa.
Namun menurutnya, selepas pandemik, kedua-dua destinasi menunjukkan pola pemulihan yang hampir sama secara berperingkat setiap tahun.
Beliau juga menjelaskan bahawa Langkawi meningkat daripada 1.09 juta pelancong pada 2021 kepada 3.21 juta pada 2025, manakala Phuket meningkat daripada sekitar satu hingga dua juta kepada lebih 13 juta dalam tempoh sama.
“Ini menunjukkan kedua-duanya sedang pulih, bukan satu jatuh dan satu lagi melonjak secara luar biasa,” tegasnya.
Mengulas dakwaan bahawa Langkawi ketinggalan dari sudut pertambahan jumlah pelancong, Sabri berkata ukuran lebih tepat dalam analisis ekonomi ialah kadar pertumbuhan dan bukannya pertambahan mutlak.
Beliau menjelaskan, bagi tempoh 2024 hingga 2025, Langkawi mencatat peningkatan daripada 2.90 juta kepada 3.21 juta pelancong, iaitu pertambahan 311,000 pelawat dengan kadar pertumbuhan sekitar 10.7 peratus.
Phuket pula, katanya, meningkat daripada sekitar 11.5 juta kepada 13.3 juta pelancong dengan pertambahan kira-kira 1.8 juta pelawat dan kadar pertumbuhan sekitar 10 hingga 15 peratus.
“Apabila dilihat dalam bentuk peratus, jelas bahawa kedua-dua destinasi sebenarnya berkembang pada kadar yang hampir sama.
“Bezanya hanyalah pada skala. Destinasi yang lebih besar secara semula jadi akan mencatat pertambahan angka yang lebih besar walaupun kadar pertumbuhan adalah setara,” terang beliau.
Sabri turut menyatakan bahawa faktor akses penerbangan memainkan peranan penting terhadap jumlah ketibaan pelancong.
Menurut beliau lagi, Phuket mempunyai lapangan terbang antarabangsa berskala besar dengan penerbangan terus dari pelbagai bandar utama dunia termasuk Singapura, New Delhi, Abu Dhabi, Mumbai, Hong Kong, Shanghai, Dubai, Seoul, Beijing, Moscow, Perth dan Melbourne.
“Phuket ketika ini menerima penerbangan terus dari 71 bandar dunia membabitkan 34 negara dengan 123 penerbangan tiba setiap hari,” ujarnya.
Sebaliknya, beliau juga menjelaskan bahawa Langkawi masih bergantung kepada penerbangan domestik dan transit melalui Kuala Lumpur bagi sebahagian besar pelancong antarabangsa.
“Langkawi menerima penerbangan terus dari enam bandar dunia membabitkan tiga negara dengan sekitar 30 penerbangan tiba sehari, di mana 82 peratus penerbangan adalah dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang,” jelasnya.
Beliau berkata, dari sudut model pelancongan pula, Phuket merupakan destinasi pelancongan massa bertaraf global, manakala Langkawi lebih tertumpu kepada pelancongan alam semula jadi, keluarga dan mesra Muslim.
“Justeru, membandingkan jumlah pelancong secara langsung tanpa mengambil kira semua faktor ini adalah perbandingan yang tidak setara,” tegasnya.
Sabri menegaskan bahawa Langkawi tidak ketinggalan seperti yang didakwa, sebaliknya sedang pulih secara konsisten dan menunjukkan kadar pertumbuhan normal selepas pandemik.
“Yang berbeza hanyalah skala dan struktur pasaran, bukan prestasi semata-mata. Ini soal membuat perbandingan yang adil berdasarkan data dan konteks sebenar,” katanya.
Beliau turut menggesa wakil rakyat supaya meneliti sesuatu isu secara menyeluruh sebelum mengeluarkan kenyataan, khususnya ketika membahaskan perkara berkaitan di Parlimen. –HARAKAHDAILY 8/5/2026











