DNAA Zahid: AG jangan rayu, henti ‘buang wang rakyat’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: ARMADA BERSATU Malaysia mendesak Jabatan Peguam Negara (AG) supaya tidak membuang masa dan wang rakyat dengan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu membenarkan Badan Peguam meneruskan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kes Yayasan Akalbudi.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Exco ARMADA BERSATU Malaysia, Na’im Brundage berkata, proses perundangan kes itu perlu diteruskan supaya kebenaran dapat ditegakkan.

Menurutnya, Malaysia tidak boleh membiarkan persepsi bahawa DNAA digunakan secara berbeza mengikut golongan tertentu.

“Dalam keadaan rakyat biasa dihukum atas setiap kesalahan kecil, pemimpin tertinggi kerajaan pula dilihat menerima layanan berbeza dalam kes yang melibatkan jutaan ringgit.

“Persepsi sebegini amat berbahaya kerana ia menghakis keyakinan rakyat terhadap prinsip keadilan dan kesaksamaan di sisi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, ARMADA BERSATU Malaysia menyambut baik keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam meneruskan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan DNAA tersebut.

Beliau menegaskan, keputusan itu menunjukkan kuasa Peguam Negara juga tertakluk kepada proses semak dan imbang dalam sistem perundangan negara.

“Apabila 47 pertuduhan melibatkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dihentikan selepas mahkamah mendapati wujudnya kes ‘prima facie’ membabitkan seorang pemimpin kanan negara, ia menimbulkan persoalan besar terhadap integriti sistem keadilan negara.

“Mahkamah Rayuan sendiri telah menyifatkan kes ini sebagai ‘jarang berlaku dan luar biasa’, sekali gus menunjukkan bahawa isu ini bukan perkara kecil atau remeh.

“Ia melibatkan kepentingan awam dan mempunyai implikasi yang amat besar terhadap keyakinan rakyat kepada institusi undang-undang negara,” ulasnya.

Beliau menekankan bahawa, jika benar keputusan DNAA itu dibuat berdasarkan fakta dan pertimbangan undang-undang yang kukuh, maka kerajaan dan Zahid tidak seharusnya takut terhadap proses semakan kehakiman berkenaan.

“Rakyat berhak mengetahui rasional sebenar di sebalik keputusan yang dibuat oleh pihak pendakwaan,” katanya.

Terdahulu, kes dilaporkan bermula apabila pada 24 Januari 2022, Mahkamah Tinggi memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes ‘prima facie’ terhadap Ahmad Zahid bagi 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram, sebelum beliau diarahkan membela diri.

Perbicaraan kemudiannya berlangsung dengan 99 saksi pendakwaan dan 15 saksi pembelaan dipanggil selama 53 hari.

Namun pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi memberikan perintah DNAA selepas Peguam Negara memutuskan untuk menghentikan prosiding kes tersebut.

Badan Peguam kemudian mencabar keputusan itu, namun pada 27 Jun 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman serta menolak permohonan merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.

Namun, Mahkamah Rayuan kini membenarkan rayuan tersebut dan memutuskan bahawa permohonan Badan Peguam bukan remeh serta menimbulkan isu perundangan yang boleh dibicarakan, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan juga memutuskan bahawa kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan adalah luas tetapi masih boleh disemak dalam keadaan luar biasa, dan ia tidak menghalang penelitian mahkamah.

Kes itu kini dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran substantif semakan kehakiman penuh bagi menilai keputusan Peguam Negara menghentikan pendakwaan tersebut. – HARAKAHDAILY 8/5/2026

- Advertisement -