
MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan kisah pelaksanaan hukum Islam dalam kalangan Sahabat Nabi SAW dengan merujuk kepada kes Qudamah bin Maz’un RA pada zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab RA.
Menurut beliau, Saidina Umar menugaskan Qudamah bin Maz’un RA dengan dibantu oleh Abu Hurairah RA sebagai hakim serta beberapa tugas lain di Bahrain.
“Umar menugaskan Qudamah bin Maz’un dengan dibantu oleh Abu Hurairah sebagai hakim serta beberapa tugas yang lain,” ujarnya dalam kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Tuan Guru menceritakan bahawa, Qudamah RA kemudiannya dilantik sebagai gabenor Bahrain dan menerima pujian penduduk setempat sebelum dituduh meminum arak.
“Saidina Umar melantik Qudamah bin Maz’un jadi gabenor Bahrain dan hantar Abu Hurairah jadi pembantu tadbir jadi hakim di Baharin,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, Qudamah RA yang merupakan ahli Badar kemudiannya dibawa menghadap Saidina Umar selepas laporan dibuat bahawa beliau meminum arak.
“Orang lapor (kepada) Saidina Umar, Qudamah bin Maz’un ni minum arak. Padahal dia ni ahli Badar. Ahli Badar ni yang Tuhan ampun dosa dia.
“Tuhan kata, ‘Wahai Ahli Badar buatlah apa mu nak buat, Aku ampunkan dosa kamu’.
“Ni ahli Badar istimewa. Sahabat ahli Badar ini istimewa. Dia ni ahli Badar tiba-tiba dilapor minum arak,” cerita Tuan Guru.
Beliau berkata Saidina Umar RA kemudiannya memanggil Qudamah ke Madinah untuk disiasat, termasuk mendapatkan penjelasan daripada Abu Hurairah RA.
“Saidina Umar panggil dia, panggil balik ke Madinah, tanya Abu Hurairah, dia minum arak tak? Abu Hurairah kata ‘saya tengok dia mabuk, tak tengok dia minum arak, tengok dia mabuk’
“Nak kata candat, tak, orang Arab tak candat. ni tak ada apa, mabuk. Ada hal lah tu,” cerita Tuan Guru lagi.
Sambung Tuan Guru, siasatan turut dilakukan terhadap isteri Qudamah yang akhirnya mengesahkan perbuatan tersebut sebelum hukuman dijatuhkan.
Beliau berkata Saidina Umar RA kemudiannya menjatuhkan hukuman hudud sebanyak 80 sebatan terhadap Qudamah walaupun beliau merupakan ahli Badar dan mempunyai pertalian keluarga dengan Umar.
“Qudamah ialah ipar kepada Umar RA kerana beliau ialah saudara kandung kepada salah seorang isteri Umar RA.
“Padahal ipar dia, Gabenor ipar ‘tang’ sebab minum arak. Ini ketegasan Saidina Umar tak kiralah waris, tak kira siapa dia. Ini keadilan Umar Khattab RA tegas dia walaupun siapa,” jelasnya.
Tuan Guru berkata, Qudamah RA kemudiannya berasa marah dan tidak bertegur sapa selepas dikenakan hukuman tersebut.
Menurut beliau, Qudamah RA kemudian berdalil dengan ayat al-Quran surah al-Maidah ayat 53 yang disalah tafsir berkaitan larangan arak, sedangkan ayat tersebut diturunkan sebelum pengharaman arak.
Tuan Guru menjelaskan bahawa, kesilapan berlaku dalam tafsiran ayat tersebut kerana ia berkait dengan tempoh sebelum pengharaman arak.
“Ayat ni (surah al-Maidah ayat 53) menegaskan mereka yang minum arak dulu sebelum diharamkan, tak jadi salah setelah mereka beriman bertakwa ikut perintah Allah Taala. Bukan minum arak setelah diharamkan. Jadi salah tafsir ayat Quran,” hujah Tuan Guru.
Beliau yang juga mantan Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia berkata, Qudamah RA tetap dikenakan hukuman 80 sebatan di khalayak umum.
“Kena sebat 80 sebatan. 80 sebatan. Sebatan dalam Islam ni bukan sebatan macam undang-undang hari ini.
“Sebatnya tak boleh mencederakan kulit. Tak boleh angkat tinggi sangat. 80 kali. Di tengah khalayak, (bertujuan untuk) memalukan. Itulah,” katanya.
Tuan Guru berkata, Qudamah RA kemudiannya tidak bertegur sapa dengan Saidina Umar sehingga akhirnya dipanggil semula oleh beliau selepas bermimpi yang benar.
“Akhirnya Umar memanggilnya. Saidina Umar panggil dia dan memberitahu bahawa beliau telah bermimpi dengan mimpi yang benar dan mendengar seruan soleh ‘Qudamah fainnahu akhuk’.
“Dia mimpi, mimpi yang benar orang ‘oyak’ (beritahu) ke dia, ‘berbaiklah dengan Qudamah sesungguhnya dia adalah saudaramu’.
“Saidina Umar kata, ‘Aku mimpi (ada orang) suruh aku tegurmu baikmu,’. Dengan pemecatan Qudamah RA, tempatnya digantikan oleh Abu Hurairah RA,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/5/2026











