
KUALA LUMPUR: Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin menegaskan bahawa Islam tidak pernah menghalang hiburan, namun ia mesti dipandu dengan batas syarak yang jelas.
Beliau berkata, tanggapan bahawa sesuatu bentuk hiburan menjadi halal hanya kerana tidak melibatkan arak adalah tidak tepat, kerana Islam turut melarang perkara lain yang membawa kepada dosa.
“Jangan sempitkan hukum hanya pada arak semata-mata. Dalam Islam, bukan setakat minum arak yang dilarang, bahkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa keperluan pun sudah dikira mendekati zina,” katanya.
Beliau menjelaskan, suasana hiburan yang tidak terkawal seperti tempat gelap, percampuran bebas antara lelaki dan perempuan serta ketiadaan kawalan boleh membuka ruang kepada fitnah dan maksiat.
Jelasnya lagi, perkara yang pada asalnya sekadar untuk berhibur boleh bertukar menjadi pintu kepada dosa lebih besar sekiranya tidak dikawal mengikut garis panduan agama.
“Walaupun ada yang berkata sesuatu tempat itu ‘halal’ kerana tiada arak, hakikatnya ia tetap tidak halal jika berlaku pergaulan bebas, sentuhan serta suasana yang melalaikan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Hanif turut memberikan analogi berkaitan makanan bagi memudahkan kefahaman, iaitu sesuatu makanan tidak menjadi halal hanya kerana tidak mengandungi babi atau arak, sekiranya sumbernya tidak disembelih mengikut syarak.
“Bukan buang satu unsur haram, terus jadi halal keseluruhannya. Kena tengok keseluruhan suasana, cara dan batas yang dijaga,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kehidupan dunia hanya sementara, manakala setiap perbuatan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
“Jangan kerana mahu dilihat ‘terbuka’, kita menggadaikan prinsip sendiri. Bumi Allah luas, carilah hiburan yang baik, yang tidak melalaikan dan tidak merosakkan hati,” katanya.
Tambah beliau, teguran tersebut bukan bertujuan menghukum, sebaliknya sebagai tanda keprihatinan agar masyarakat sentiasa menjaga diri dan kembali ke landasan yang betul sekiranya tersasar.
“Moga Allah pelihara kita semua dan memberi kekuatan untuk istiqamah di jalan yang benar,” katanya.
Baru-baru ini tular beberapa anak muda yang berhibur di kelab malam dengan menganggap ia dibolehkan kerana tidak melibatkan arak, kemudian dakwaan sama kepada penganjuran festival muzik air di Bukit Bintang bermula malam ini.
Dalam konteks lebih luas, polemik hiburan dan batas syariah sering berulang setiap kali timbul penganjuran acara besar yang menghimpunkan orang ramai tanpa pemisahan jelas antara lelaki dan perempuan, khususnya di kawasan terbuka seperti pantai, tapak festival dan konsert.
Dalam kerangka Maqasid Syariah, sebarang bentuk hiburan perlu dinilai berdasarkan kesannya terhadap lima perkara asas iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Justeru, aktiviti yang membawa kepada kelalaian melampau, pergaulan bebas atau membuka pintu maksiat dilihat bercanggah dengan tujuan utama syariat.
Selain itu, konsep Sadd al-Dhara’i (menutup jalan kepada kemudaratan) sering dijadikan asas dalam penentuan hukum.
Ini bermakna sesuatu perkara yang asalnya harus boleh menjadi terlarang sekiranya ia membuka ruang kepada perkara haram lebih besar. – HARAKAHDAILY 30/4/2026











