
23 TAHUN lampau Tun Mahathir secara terbuka menyatakan bahawa orang Yahudi mencatur dunia dengan menggunakan proksi. Dan tentunya dunia bergegar dengan kenyataan berani seorang pemimpin Melayu Muslim asal Asia dari sebuah negara kecil di Asia Tenggara itu.
Ramai pemimpin Barat khasnya mengecam kenyataan yang dibuat Tun Mahathir malah ada yang berpandangan ianya menyinggung perasan dan berbahaya sehinggakan ada yang melabel Tun Mahathir sebagai anti semitik.
Yakov M Rabkin mendedahkan pengasas politikal Zionisme, Theodor Herzl sedari awal melihat sentimen anti semitik sebagai tunggangan paling mapan untuk menjayakan projek Zionisme yang diusahakan. Semangat anti semitik yang berputik di Eropah itu dilihat boleh menjadi proksi kerana kedua-duanya mempunyai mimpi yang sama iaitu mahu mengusir orang Yahudi keluar daripada Eropah.
Modus operandi yang sama digunakan gerakan Zionis dengan pelbagai cara dan antaranya keganasan bagi mengusir warga berketurunan Yahudi di semua negara Islam supaya memilih untuk menjadi settlers di Palestin.
Menurut Yakov M Rabkin lagi kejadian tentera udara Israel mengebom sebuah synagogue di Tehran, Iran semasa Passover baru-baru ini bukanlah sebuah anomali. Pada tahun 1951 sebuah synagogue di Iraq diletupkan oleh ejen Israel dengan bom tangan. Provokasi serupa dilakukan di Mesir dan Maghribi.
“The new Zionist state, which had expelled hundreds of thousands of Palestinian Arabs, needed Jews to fill empty houses and villages,” tulis Profesor Emeritus Sejarah itu lagi minggu lepas.
Jeffrey Sachs dalam podcast terbaru Tucker Carlson pula berpandangan bahawa Israel adalah sebuah negara yang tidak mempunyai diplomasi walaupun mempunyai para diplomat.
“But the diplomats ripped up the UN (United Nations) Charter or shred the UN Charter or stand in the podium of the UN General Assembly and accused the whole world of anti-Semitism and hatred and so forth. Its not diplomacy at all because one strand of thought is nobody can be trusted and we have to kill them before they kill us.”
Malangnya itulah yang kita telah lihat dengan genosid di Gaza. Begitu juga dengan serangan ke atas Iran yang dimulai dengan pengeboman terancang sebuah sekolah rendah perempuan Shajareh Tayyebeh sehingga mengorbankan ratusan jiwa termasuk 120 kanak-kanak sekolah. Dan yang terbaru serangan terhadap Lubnan yang masih berlangsung dengan ribuan nyawa terkorban.
Itulah agaknya mesej yang cuba disampaikan oleh Yakov M Rabkin dalam artikel beliau yang bertajuk “Israel is a danger to Jews and non Jews alike: On anti semitism of Zionism”
Dalam artikel yang sama beliau berkongsi bahawa menurut Avi Shlaim ketika beliau meninggalkan Iraq di usia lima tahun, ibunya berkata “Zionism is an Ashkenazi thing.”
Jeffrey Sachs berkongsi pandangan serupa. Tegasnya Zionisme tidak bermula dengan Judaisme ataupun orang Yahudi. Zionisme bawaan Theodor Herzl hakikatnya didorong gerakan Kristian Zionisme yang merupakan kepercayaan Evangelikal bahawa orang Yahudi perlu pulang ke ‘tanah yang dijanjikan’ atau Holy Land.
Kongsi Jeffrey Sachs lagi, ianya digerakkan ratusan tahun lebih awal pada abad ke-19 Masihi oleh kumpulan Kristian Zionis di Britain yang mempunyai pandangan khas mengenai akhir zaman berpandukan buku Revelation. Kerana menurut kepercayaan mereka, ‘the second coming Jesus’ hanya akan bermula dengan ‘kepulangan’ orang Yahudi ke Holy Land.
Dan ianya amat penting untuk difahami oleh warga Amerika Syarikat akan konteks ini, tegas pakar ekonomi itu lagi.
Kefahaman itu jugalah yang sedang diperjuangkan tokoh-tokoh seperti Tucker Carlson and Candice Owens yang sudah semakin sedar akan kejahatan yang dibawa Zionisme khasnya di kalangan kumpulan Evangelikal Kristian Zionis di Amerika Syarikat dan dunia.
Tucker Carlson menerumah duta Amerika Syarikat ke Israel, Mike Huckabee pada Februari lepas dilihat dunia sebagai wajah sebenar proksi entiti Zionis kerana dilihat mendahulukan kepentingan Israel melebihi negara yang diwakilinya sendiri dan hal ini dibangkitkan Tucker Carlson beberapa kali.
Mike Huckabee seorang Baptist minister dan merupakan mantan gabenor Arkansas antara lain mempertahankan ‘biblical right’ Israel terhadap tanah Palestin malah merujuk Tebing Barat sebagai ‘Judea and Samaria’. Malah beliau juga dilihat mempertahankan pencerobohan negara haram tersebut ke serata bahagian di Timur Tengah.
Baru-baru ini Tucker Carlson dilihat amat kesal dengan perbuatan vandalisme terhadap patung Jesus di Lubnan yang viral. Dan sebelum menemuramah Mike Huckabee, dilihat amat terganggu dan terkejut dengan dapatan temuramah seorang paderi Kristian berketurunan Arab, menelanjangkan kejahatan rejim Zionis.
Candace Owens juga setelah melihat kematian Charlie Kirk, rakan seperjuangannya melawan naratif liberal, woke dan LGBT, pada tahun lepas dengan kejam dan penuh misteri secara terbuka menuduh Israel bertanggungjawab.
Menurut Candace Owens rakan konservatif Kristian itu dibunuh apabila memilih untuk mula mengkritik Zionisme secara terbuka sama seperti apa yang dibuat beliau sendiri.
Malah Candace Owens kini dengan saluran podcast yang sangat popular itu dilihat semakin aktif mempertahankan hak rakyat Palestin dengan menentang kekejaman Israel dan gerakan Kristian Zionis yang pada pandangan beliau setia membuta tuli dengan entiti Israel walaupun terang-terang melakukan kekejaman terhadap kanak-kanak Palestin.
Piers Morgan berpandangan bahawa pengakuan Mark Rubio membuktikan Israel telah ‘pull some strings’ untuk ‘memaksa’ Amerika Syarikat berperang untuknya. Sekali lagi kenyataan itu dibalas sebagai berbaur anti-semitik.
Sejauh manakah Malaysia yang tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan entiti haram itu meletakkan proksi-proksi untuk ‘berperang’ bagi pihak Israel-Zionis?
Selain daripada beberapa ejen Mossad yang tertangkap dan pembunuhan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa yang dibunuh kejam di Gombak, seteruk manakah keselamatan kita dikompromi?
Tweet seorang ahli politik yang menyatakan pendiriannya bersama-sama Israel sebelum ini tidak harus dipandang enteng. Begitu juga kumpulan yang menyatakan bantahan terhadap sebarang rancangan Malaysia membawa pulang pelarian perang Palestin tempoh hari.
Semoga Malaysia diberkati dan senantiasa dilindungi dari sebarang campur tangan proksi Israel-Zionis seperti yang pernah dinasihati Tun Mahathir sendiri!
HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan Pusat Kajian Media Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) merangkap penulis buku esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’’ – HARAKAHDAILY 29/4/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











