Ini sahsiah Madani mahu dibentuk ke atas masyarakat?

'Nismilan Water Music Festival 2026: Splash The Beat'

- Advertisement -

PORT DICKSON: PAS Kawasan Port Dickson menyuarakan kebimbangan terhadap penganjuran ‘Nismilan Water Music Festival 2026: Splash The Beat’ yang dijadual berlangsung di Pantai Saujana, di sini pada 1 dan 2 Mei ini.

- Advertisement -

Jabatan Penerangan PAS Port Dickson membangkitkan beberapa pertikaian kepada pihak berkuasa dan masyarakat, khususnya berkaitan aspek nilai budaya, identiti tempatan serta kesan sosial terhadap generasi muda.

Kata mereka, meskipun poster acara menampilkan elemen tempatan seperti maskot bersongkok dan berbaju batik, konsep festival yang menggabungkan muzik dan aktiviti air yang masih membawa pengaruh budaya luar di mana dikaitkan dengan hiburan melampau atau hedonisme.

“Wajarkah persekitaran seperti ini dinormalisasikan di ruang awam sedangkan ia dilihat bercanggah dengan syariat Islam dan nilai moral masyarakat,” katanya.

Selain itu, PAS Port Dickson berpandangan penganjuran acara berbentuk pesta sedemikian perlu diteliti semula dari sudut kesesuaian dengan latar budaya Negeri Sembilan yang sinonim dengan Adat Perpatih.

Di samping mereka juga menggesa agar mengambil kira kedudukan Port Dickson sebagai destinasi pelancongan utama yang menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar negara.

Kenyataan itu turut membangkitkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya percampuran bebas lelaki dan wanita tanpa batas sepanjang program, khususnya dalam aktiviti air yang melibatkan pakaian basah serta suasana terbuka.

Di samping itu, timbul persoalan sama ada penganjuran festival berkenaan selari dengan aspirasi Malaysia Madani dari segi pembangunan nilai, sahsiah dan pembentukan identiti masyarakat.

“Adakah ini kualiti pelancongan yang kita mahukan, atau kita sepatutnya memartabatkan pelancongan berteraskan budaya warisan yang bermaruah,” ujarnya.

Sehubungan itu, PAS Port Dickson meminta penjelasan berhubung kelulusan permit penganjuran acara berkenaan oleh pihak berkuasa tempatan termasuk Majlis Perbandaran Port Dickson serta kerajaan negeri, selain garis panduan yang digunakan dalam menilai kesesuaian program.

Dalam masa sama, mereka menegaskan tidak menolak pembangunan sektor pelancongan dan hiburan, namun menekankan setiap penganjuran program perlu berlandaskan syarak, nilai tempatan serta memberi manfaat kepada pembentukan insan.

Untuk rekod, Port Dickson merupakan antara destinasi pelancongan utama di Negeri Sembilan yang terkenal dengan pantai peranginan dan sering menjadi lokasi penganjuran pelbagai program berskala besar, termasuk acara hiburan dan sukan air.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penganjuran festival hiburan terbuka di kawasan pantai turut mencetuskan perbincangan dalam kalangan masyarakat berhubung keseimbangan antara pembangunan pelancongan dan pemeliharaan nilai tempatan. — HARAKAHDAILY 30/4/2026

- Advertisement -