
SANDAKAN: Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Negeri Sabah telah menggerakkan misi bantuan segera susulan kebakaran besar yang melanda Kampung Bahagia, di sini awal pagi semalam.
Pengarah Khidmat Malaysia Sabah, Sahar Abdul Majid berkata, pihaknya telah turun padang bersama rakan strategik, Pertubuhan Kebajikan Untukmu Sandakan, bagi menyampaikan sumbangan awal kepada mangsa terlibat.

Menurut beliau, kehadiran pasukan bantuan bukan sekadar menyampaikan keperluan fizikal, malah sebagai tanda solidariti dan kebersamaan rakyat terhadap mangsa yang sedang diuji.
Kebakaran tersebut dilaporkan telah memusnahkan kira-kira 1,000 buah kediaman dan menjejaskan seramai 9,007 penduduk yang kini kehilangan tempat tinggal.
“Keadaan di lokasi kejadian disifatkan amat menyayat hati dengan sebahagian besar mangsa hanya bergantung kepada bantuan awal untuk meneruskan kehidupan harian,” katanya.

Seorang mangsa, yang hanya ingin dikenali sebagai Aminah, meluahkan kesedihan apabila mereka sekeluarga kini sehelai sepinggang dan amat mengharapkan bantuan untuk memulakan semula kehidupan.
Tambahnya, Khidmat Malaysia Negeri Sabah komited untuk terus berada di lapangan bagi menyelaras bantuan serta memastikan kebajikan mangsa terus terbela.

“Usaha pemulihan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan dan agensi berkaitan,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agar bersama-sama menghulurkan sumbangan dan doa bagi meringankan beban mangsa.

“Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan bantuan kewangan ke akaun Pertubuhan Kebajikan Untukmu Sandakan di Maybank 560166136425 dengan rujukan ‘KMS Kebakaran’,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 20/4/2026











