
KUALA LUMPUR: Risiko normalisasi budaya tidak sihat, penurunan sensitiviti terhadap maruah diri, serta peningkatan ancaman eksploitasi dan gangguan dalam talian bakal dihadapi masyarakat di negara ini jika penularan kandungan berunsur ‘soft porn’ di media sosial dibiarkan berleluasa secara berterusan.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata pihaknya memandang isu berkenaan yang semakin membimbangkan, khususnya apabila melibatkan golongan wanita muda dan dikaitkan pula dengan institusi pendidikan tinggi (IPT) yang seharusnya menjadi medan pembinaan ilmu, akhlak dan sahsiah.
Menurut beliau, fenomena ini bukan sekadar isu peribadi atau kebebasan individu, tetapi mencerminkan krisis nilai, kemerosotan rasa malu, serta keringanan terhadap pandangan agama Islam mengenai aurat, maruah dan kehormatan diri.
“Lebih membimbangkan apabila budaya mencari perhatian (validation culture) melalui paparan yang tidak selari dengan nilai kesopanan semakin dianggap normal dalam kalangan remaja dan wanita muda.
“Jika perkara ini terus dibiarkan, kita berdepan risiko normalisasi budaya tidak sihat, penurunan sensitiviti terhadap maruah diri, serta peningkatan ancaman eksploitasi dan gangguan dalam talian,” katanya.
Sehubungan itu beliau menegaskan bahawa kebebasan berekspresi di media sosial tidak boleh melampaui batas agama, adab dan norma masyarakat.
“Maruah wanita bukan bahan tontonan, bukan alat mendapatkan populariti, dan bukan komoditi untuk dinilai oleh pandangan umum,” tegasnya.
Sehubungan itu, katanya, DMPM menyeru beberapa langkah segera dilaksanakan termasuk penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas terhadap penyebaran kandungan tidak bermoral.
“Selain itu, institusi perlu pendidikan memperkukuh garis panduan etika dan program pembangunan sahsiah pelajar, manakala platform media sosial memperketat kawalan kandungan serta perlindungan terhadap pengguna,” jelasnya.
Golongan ibu bapa dan masyarakat pula, ujar Nuridah, perlu memainkan peranan aktif dalam pendidikan digital dan pemantauan berhemah.
“Dalam masa yang sama, pendekatan dakwah dan pendidikan mesti diutamakan. DMPM percaya wanita perlu dibimbing dengan hikmah, kasih sayang dan kefahaman, bukan semata-mata dengan kecaman dan penghukuman.
“Kita mahu membina, bukan sekadar menghukum. Kepada wanita muda, ingatlah bahawa maruah diri jauh lebih bernilai daripada perhatian sementara di alam maya.
“Gunakan media sosial sebagai platform menyebarkan ilmu, membina kredibiliti dan memperkukuh jati diri berasaskan nilai agama,” katanya.
Sehubungan itu beliau menegaskan bahawa DMPM akan terus komited memperjuangkan pembinaan masyarakat yang berakhlak, bermaruah dan sejahtera selaras dengan tuntutan Islam.
Terdahulu sejak Khamis, 16 April 2026, kecoh di media sosial apabila ramai dalam kalangan netizen menyelar satu persembahan teater yang didakwa dipentaskan di sebuah dewan di UM menjadi tular apabila dikatakan memaparkan adegan ghairah di atas katil dan berunsur ‘soft porn’.
Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menerusi media sosialnya pila turut mempersoalkan kewajaran mengenai isu berkenaan, bahawa adakah Malaysia sedang melahirkan generasi yang berpendidikan tinggi tetapi akhlaknya rendah.
Sehubungan kejadian itu, UM telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf sambil menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran garis panduan program.
Kenyataan itu menegaskan, persembahan teater yang turut menyelitkan adegan intim ‘soft porn’ atas katil dalam satu pertandingan Karnival Teater (KARVITER) di universiti berkenaan didapati tidak selaras dengan skrip asal yang dipertandingkan. – HARAKAHDAILY 20/4/2026











