
IPOH: Tragedi melibatkan pemandu mabuk disifatkan terus berulang tanpa penyelesaian tuntas, sekali gus menimbulkan persoalan sejauh mana tindakan tegas kerajaan dalam menangani isu berkenaan.
Ustaz Azizi Mohamed Ridzuwan (PN-Lubok Merbau) mempersoalkan sama ada tindakan hanya akan diambil sekiranya membabitkan keluarga kenamaan.
“Persoalannya, sampai bila peristiwa tragis ini harus berulang. Berapa banyak lagi nyawa yang harus melayang disebabkan pemandu mabuk?
“Adakah tunggu anak menteri ataupun anak-anak ahli dewan ini (meninggal disebabkan pemandu mabuk) baru pihak kerajaan akan ambil tindakan?”soal beliau.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Sultan Perak sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat pada Persidangan Dewan Negeri di Bangunan Darul Ridzuan, di sini, pada Khamis.
Azizi berkata demikian merujuk kejadian pada 29 Mac lalu yang melibatkan Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang menurutnya meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat.
Katanya, kejadian seumpama itu sudah kerap berlaku namun setiap kali insiden berlaku, kerajaan hanya sekadar menyatakan simpati serta mengumumkan sumbangan.
“Namun tiap kali berlaku kes seumpama ini kerajaan hanya mampu menyatakan simpati dan mengumumkan sumbangan sekian-sekian. Tidak lebih sekadar retorik nak meredakan keadaan,” tempelak beliau.
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan negeri mengambil langkah lebih tegas termasuk menghentikan penjualan arak secara terbuka dan meluas khususnya di kawasan penempatan majoriti Melayu.
Beliau turut mencadangkan supaya perlesenan penjualan arak dihadkan mengikut piawaian yang ketat, selain meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan.
Dalam ucapannya, beliau turut memetik maksud ayat al-Quran yang menyentuh larangan terhadap arak dan judi, sebagai peringatan kepada semua pihak. – HARAKAHDAILY 20/4/2026











