
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan agar memantau rapat perkembangan geopolitik dunia yang sedang berubah pantas bagi memastikan kepentingan nasional dan kebebasan strategik negara terus terlindung.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah proaktif perlu diambil segera bagi mendepani persaingan strategik serta ekonomi yang semakin memuncak antara kuasa besar, khususnya Amerika Syarikat (AS) dan China.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dan Setiausaha Agung PAS berkata, persaingan kedua-dua kuasa besar itu jelas semakin mempengaruhi landskap politik dan ekonomi di Asia Tenggara.
“Peningkatan kehadiran ketenteraan di perairan serantau, persaingan ke atas laluan perdagangan strategik, penyusunan semula rantaian bekalan serta tekanan ekonomi yang semakin ketara akan membawa implikasi besar kepada Malaysia dan rantau ini.
“Perkembangan ini berisiko menjadikan Asia Tenggara sebagai medan baharu persaingan kuasa besar. Justeru, Malaysia perlu terus berwaspada bagi memastikan persaingan kuasa luar tidak menjejaskan keamanan serantau, kedaulatan negara serta daya tahan ekonomi,” katanya.
Takiyuddin turut menekankan kepentingan memastikan Asia Tenggara, terutama Selat Melaka, kekal bebas daripada sebarang pengaruh asing, peningkatan kehadiran tentera atau tekanan strategik oleh mana-mana kuasa luar.
Katanya, sebagai antara laluan perdagangan maritim paling penting di dunia, sebarang usaha asing untuk mempengaruhi keadaan di Selat Melaka hanya akan meningkatkan ketegangan geopolitik dan menggugat kestabilan.
“Ketegangan di Laut China Selatan, peningkatan penempatan aset ketenteraan oleh kuasa besar serta konfrontasi ekonomi yang melebar antara Washington dan Beijing menuntut Malaysia mengekalkan dasar luar yang bebas dan seimbang.
“Malaysia perlu menghindari daripada terheret ke dalam penjajaran geopolitik berpihak dan terus mendukung prinsip Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) yang kekal relevan sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, PN menggariskan gesaan utama kepada kerajaan memantau rapat perkembangan geopolitik dan ekonomi melibatkan kuasa-kuasa besar bagi memastikan Malaysia tidak terheret ke dalam persaingan strategik atau ekonomi asing.
PN juga mengingatkan Putrajaya agar memelihara kedaulatan dan autonomi strategik negara dengan mengekalkan neutraliti dan keterbukaan Selat Melaka daripada pengaruh kuasa luar, serta memperkukuh kerjasama ASEAN bagi memastikan kestabilan serantau.
Tambah beliau, dalam mendepani ketidaktentuan global, Malaysia harus terus menggalakkan dialog serta mengutamakan penyelesaian pertikaian secara aman melalui dasar luar yang berprinsip demi melindungi kepentingan jangka panjang negara. – HARAKAHDAILY 18/4/2026











