
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) disifatkan sedang menyemai naratif untuk menakutkan orang ramai serta melakukan intimidasi terhadap hak rakyat dalam bersuara dan mengkritik pentadbiran negara.
Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, amaran yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) baru-baru ini dilihat sebagai satu usaha untuk membina persepsi sokongan atau manufacture consent bagi pihak Kerajaan Madani.
Beliau mengulas kenyataan JSJ PDRM Bukit Aman yang mengingatkan rakyat agar tidak menjadikan media sosial sebagai gelanggang menghasut serta provokasi terhadap dasar kerajaan mengikut Seksyen 3(1) Akta Hasutan 1948.
“PDRM memetik Seksyen 3(1) mengenai kecenderungan menghasut yang mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan. Ya, itu betul dari segi undang-undang.
“Tetapi mengapa PDRM tidak menerangkan kepada rakyat mengenai Seksyen 3(2) di bawah akta yang sama? Sesuatu kenyataan itu tidak dianggap menghasut sekiranya ia bertujuan untuk menunjukkan kesilapan atau kekurangan mana-mana kerajaan,” katanya.
Rafique mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang seolah-olah cuba menyekat kritikan rakyat terhadap kegagalan Kerajaan Madani dalam menunaikan janji-janji yang pernah ditawarkan sebelum ini.
Tegas beliau, rakyat mempunyai hak yang sah di sisi undang-undang untuk mempersoal dan mengkritik Perdana Menteri mahupun barisan menteri sekiranya terdapat khilaf dalam pentadbiran.
“Apa yang salah kalau rakyat mahu tunjuk Kerajaan salah? Adakah rakyat tiada hak untuk mengkritik? Saya melihat ini sebagai jalan untuk akhirnya menyekat akses media sosial supaya rakyat berasa takut dan tiada sesiapa lagi yang berani bersuara.
Ini menunjukkan kerajaan sebenarnya sedang takut dengan rakyat sendiri,” ujar pengamal undang-undang yang juga Ketua Penerangan PEJUANG itu.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan PDRM bahawa tugas hakiki pasukan keselamatan tersebut adalah untuk menjaga keselamatan rakyat dan bukannya menyebarkan ketakutan.
Beliau turut menyeru orang ramai agar tidak gentar kerana mengkritik untuk menunjukkan kelemahan pentadbiran bukanlah satu kesalahan hasutan, sebaliknya merupakan hak asasi setiap warga negara. – HARAKAHDAILY 18/4/2026











