
IPOH: Zafarulazhan Zan (PN-Kampong Gajah) menggesa kerajaan meneliti serta membuat kajian semula enakmen berkaitan bagi mengekang isu berkaitan arak daripada terus berleluasa.
Beliau mengemukakan cadangan jangka pendek termasuk mengetatkan syarat lesen serta membekukan pengeluaran lesen baharu, selain langkah jangka sederhana dengan meningkatkan hukuman denda, penjara serta tuntutan pampasan atau sivil.
Menurutnya, bagi jangka panjang, pendidikan mengenai bahaya arak perlu diperluaskan kepada masyarakat.
Katanya, usaha itu penting kerana mudarat arak adalah besar dan perlu diberi perhatian sewajarnya.
“Kalau boleh Perak ni bebas daripada arak. Kerana bukannya tentang agama Islam. Agama Islam dah tentulah. Tentulah saya pasti tak ada siapa pun yang bersetuju dengan masalah mudharat yang datang daripada punca arak ni,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Sultan Perak sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat pada Persidangan Dewan Negeri di Bangunan Darul Ridzuan, di sini semalam.
Beliau berkata, arak merupakan punca kepada pelbagai kejahatan termasuk keganasan, kemalangan jalan raya serta jenayah lain akibat kerosakan akal dan kewarasan.
Menurutnya, keadaan itu membawa kepada pergaduhan, kes bunuh serta kemalangan jalan raya yang memberi kesan besar kepada masyarakat.
Beliau turut menyentuh kes melibatkan pemandu mabuk yang menyebabkan kehilangan nyawa serta memberi kesan kepada ahli keluarga mangsa.
“Saya mengambil kesempatan dalam dewan ini mengucapkan takziah kepada keluarga Amirul Hafiz Omar orang Batu Kurau antara mangsa kemalangan penyebabnya pemandu mabuk iaitu berlaku pada 29 Mac 2026 di Jalan Raya Barat Klang,” katanya.
Tambah beliau, kesan pengambilan arak juga melibatkan keganasan rumah tangga, penderitaan fizikal dan emosi terhadap pasangan serta anak-anak.
Selain itu menurut beliau, ia turut membebankan ekonomi, membawa kepada kemiskinan, merosakkan moral dan sosial serta meningkatkan beban sistem kesihatan akibat penyakit kronik.
Sehubungan itu, beliau menegaskan isu berkenaan perlu dilihat secara serius dan ditangani melalui tindakan undang-undang yang lebih tegas. – HARAKAHDAILY 17/4/2026











