
IPOH: Berhanudin Ahmad (PN-Manong) menegaskan rakyat tidak wajar dipersalahkan apabila bangkit bersuara menuntut kawalan harga minyak serta peningkatan subsidi.
Beliau menempelak tindakan melabel rakyat sebagai tidak faham atau ‘melalak’, sebaliknya menegaskan pihak yang pernah berjanji dan membentuk persepsi kepada rakyat perlu bertanggungjawab.
“Jangan salahkan rakyat tetapi yang bersalah adalah orang yang pernah berjanji suatu ketika dahulu, orang yang pernah membentuk persepsi dan orang yang pernah memberi harapan kepada rakyat,” bidas beliau.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Sultan Perak sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat pada Persidangan Dewan Negeri di Bangunan Darul Ridzuan, di sini kelmarin.
Menurutnya, hampir dua dekad rakyat ditanam dengan persepsi bahawa Malaysia sebagai pengeluar minyak akan meraih keuntungan besar apabila harga minyak dunia meningkat, sekali gus mampu menampung subsidi dan menurunkan harga minyak dengan segera.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kebimbangan rakyat turut tertumpu kepada kesan konflik Asia Barat yang berpotensi mencetuskan krisis ekonomi dunia.
Menurut beliau, konflik berkenaan boleh membawa kepada krisis tenaga global dan kenaikan harga minyak yang seterusnya meningkatkan kos logistik.
Beliau menjelaskan, keadaan itu memberi kesan kepada kenaikan harga barangan keperluan harian yang menjadi kebimbangan utama rakyat ketika ini.
“Ini yang rakyat bimbang dan menuntut kerajaan melakukan sesuatu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menekankan kemungkinan negara berdepan risiko darurat tenaga dan bekalan makanan seperti yang dititahkan, selain merujuk kenyataan Perdana Menteri pada 9 April lalu berhubung amaran kenaikan harga.
“Situasi itu menunjukkan rakyat akan berdepan peningkatan kos sara hidup,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan sektor pertanian antara yang terkesan apabila kenaikan harga minyak memberi impak kepada kos pengeluaran baja yang bergantung kepada gas asli.
Menurutnya, kenaikan kos baja menyebabkan petani mengurangkan penggunaannya, seterusnya menjejaskan hasil tanaman dan berpotensi meningkatkan kadar inflasi.
Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan memperkasakan tiga langkah utama bagi menangani isu berkenaan.
Katanya, langkah pertama ialah melindungi rakyat dengan mengekalkan subsidi munasabah serta menyalurkan bantuan tunai secara terus bagi meningkatkan kuasa beli.
“Yang kedua kawal pasaran, kawal harga barang dengan menetapkan harga siling, perkasakan ekonomi domestik dalam konteks daerah yang dapat mengurangkan kos penghantaran dan rantaian bekalan serta pertingkatkan kawalan penyeludupan,” cadangnya.
Tambah beliau, langkah ketiga ialah mengukuhkan asas ekonomi melalui pembangunan ekonomi komuniti secara berterusan serta mewujudkan tahap sara diri (SSL) di peringkat daerah.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan di peringkat daerah dapat dilakukan dengan lebih efektif berbanding hanya di peringkat negeri atau Persekutuan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas pencapaian menutup akaun hasil disatukan dengan kedudukan lebihan selama empat tahun berturut-turut serta peningkatan jumlah pelaburan.
“Pencapaian itu berpotensi meningkatkan rizab negeri dan seharusnya dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya.
Beliau turut menyatakan persetujuan terhadap cadangan penjajaran semula bajet bagi menambah baik peruntukan dan bantuan kepada rakyat dalam usaha meringankan beban kos sara hidup. – HARAKAHDAILY 17/4/2026











