‘Jika dibiarkan, Perak bakal hilang generasi muda’

- Advertisement -

IPOH: Rahim Ismail (PN-Changkat Jering) menegaskan isu pekerjaan dan perumahan tidak boleh lagi dilihat secara berasingan kerana ia membabitkan dasar yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

Beliau menekankan, keadaan membina rumah tanpa peluang pekerjaan serta mewujudkan pekerjaan tanpa penyediaan rumah mampu milik menyebabkan rakyat terus tersepit.

- Advertisement -

Menurutnya, dua perkara asas kehidupan rakyat ketika ini iaitu pekerjaan dan perumahan gagal ditangani dengan baik, sekali gus menjejaskan masa depan generasi muda.

“Pada hakikatnya dua perkara asas kehidupan rakyat pada hari ini sedang gagal kita tangani dengan baik iaitu pekerjaan dan perumahan dan apabila kedua-duanya gagal maka yang runtuh bukan sekadar dasar tetapi masa depan generasi muda kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Sultan Perak sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat pada Persidangan Dewan Negeri di Bangunan Darul Ridzuan, di sini.

Tambah Rahim, meskipun kadar pengangguran di Perak sekitar tiga peratus, angka itu tidak menggambarkan realiti sebenar kerana hanya merujuk kepada mereka yang benar-benar tidak bekerja.

Beliau menjelaskan bahawa terdapat ramai dalam kalangan belia yang bekerja secara tidak tetap atau separuh masa, selain berdepan isu pekerjaan tidak setimpal dengan kelulusan.

“Banyak yang ‘underemployment’, gaji tidak sama dengan kelulusan. Ditawarkan gaji RM1,500 hingga RM2,500 sedangkan mereka ini ada degree, diploma dan sijil kemahiran,” tegasnya.

Beliau berkata, situasi gaji sedemikian menyukarkan belia untuk membina kehidupan termasuk memiliki rumah.

“Rumah di Changkat Jering kini mencecah sekitar RM250,000, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ia realistik untuk rakyat terutama di luar bandar,” ujarnya.

Keadaan itu menyebabkan belia berhijrah ke bandar, seterusnya memberi kesan kepada komuniti luar bandar apabila kampung semakin kosong, rumah pusaka terbiar dan ekonomi tempatan menjadi lemah.

“Ini bukan kebetulan. Ini adalah kegagalan struktur ekonomi negeri. Apabila belia berhijrah maka kampung semakin kosong, rumah pusaka terbiar, ekonomi tempatan menjadi lemah dan akhirnya kita kehilangan bukan sahaja tenaga kerja tetapi juga identiti komuniti luar bandar,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kewujudan pelan menyeluruh kerajaan negeri yang menggabungkan aspek pekerjaan dan perumahan untuk golongan belia.

Katanya, tanpa perancangan sedemikian, pembangunan yang dilaksanakan dilihat tidak mempunyai hala tuju jelas.

Beliau turut mengemukakan beberapa cadangan antaranya mewujudkan Zon Ekonomi Belia di setiap daerah bagi menyediakan peluang pekerjaan sebenar.

Selain itu, beliau mencadangkan pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat Sejahtera dengan harga bawah RM200,000 khusus untuk golongan belia tempatan dalam kategori B40 dan M40.

Tambahnya, kedua-dua elemen itu perlu digabungkan melalui pembangunan kawasan perumahan berhampiran lokasi pekerjaan berkonsepkan ‘life work community’ bagi generasi muda.

Rahim turut mengingatkan kerajaan negeri supaya tidak menjadikan projek perumahan sekadar angka dan peluang pekerjaan hanya sebagai statistik.

Menurutnya lagi, kegagalan menyelesaikan kedua-dua isu itu secara serentak akan menyebabkan belia terus berhijrah, pemilikan rumah merosot, jurang bandar dan luar bandar melebar serta ekonomi negeri ketinggalan.

“Selagi belia tidak mempunyai pekerjaan yang stabil mereka tidak akan mampu memiliki rumah dan selagi mereka tidak mampu memiliki rumah mereka tidak akan kekal di negeri ini.

“Sekiranya isu itu gagal ditangani, negeri berisiko kehilangan generasi muda pada masa depan yang merupakan aset dan pewaris kepimpinan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2026

- Advertisement -