
KUALA TERENGGANU: Lebih 100,000 pengunjung hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Terengganu, menggambarkan sambutan luar biasa masyarakat dari pelbagai lapisan terhadap acara tahunan itu
Pengarah program, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, orang ramai mula memenuhi kawasan majlis yang berlangsung di Dataran Shahbandar, di sini, seawal jam 9 pagi, semalam walaupun program dijadualkan bermula pada jam 11 pagi sehingga pihak urusetia terpaksa membuka pintu lebih awal daripada perancangan asal.
Menurut beliau, kehadiran luar jangka itu menunjukkan semangat perpaduan yang kukuh apabila majlis tersebut turut dihadiri dari pelbagai latar belakang.
“Alhamdulillah, sambutan pada hari ini sangat menggembirakan. Kita ucapkan terima kasih kepada semua yang hadir daripada PAS, BERSATU, Gerakan, Umno, MIC, pegawai kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang bersama-sama memeriahkan majlis ini.
“Walaupun majlis sepatutnya bermula jam 11 pagi, seawal jam 9 pagi orang ramai sudah datang dan kita terpaksa membuka lebih awal untuk memastikan keselesaan tetamu,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Majlis diserikan dengan acara memotong kek Aidilfitri oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Turut hadir, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Al Bakri, Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Dato’ Hussein Awang, Murabbi sejuta ummah, Ustaz Azhar Idrus.
Sebanyak kira-kira 50 jenis juadah disediakan untuk pengunjung yang mana nasi minyak dan gulai daging menjadi menu utama yang dimasak menggunakan 30 kawah besar.

Antara hidangan lain termasuk nasi kerabu dari Besut, nasi dagang Kuala Terengganu, laksa Kuala Nerus, lemang dan rendang Hulu Terengganu serta pelbagai kuih tradisional.
Turut mencuri tumpuan ialah kambing bakar, ayam golek, sate, satar dan colek buah yang menjadi pilihan pengunjung.
Sehubungan itu, Mohd Nor berkata penyediaan makanan dibuat secara teliti bagi memastikan bekalan mencukupi sehingga penghujung majlis.
“Sambutan sangat luar biasa tetapi alhamdulillah makanan yang kita sediakan mencukupi sehingga petang,” ujarnya.
Tambah beliau, sambutan luar biasa itu turut menyaksikan kehadiran pengunjung bukan sahaja memenuhi ruang di bawah khemah, malah membanjiri hingga ke kawasan luar sehingga ada dalam kalangan mereka yang membawa tikar sendiri untuk duduk bersama keluarga sambil menikmati kemeriahan majlis hari raya yang menjadi acara tahunan tersebut.
Majlis tersebut turut meraikan penyedia reruai yang terbaik dengan hadiah berupa wang tunai sebanyak RM3,000 bagi tempat pertama, RM2,000 untuk tempat kedua dan ketiga membawa pulang RM1,000.

Kemaman berjaya mengekalkan kejuaraan apabila dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama (bertahan), diikuti Kuala Nerus dan Dungun di tempat ketiga. – HARAKAHDAILY 16/4/2026











