
KUALA TERENGGANU: Perikatan Nasional (PN) dijangka membuat keputusan berhubung permohonan beberapa parti politik untuk menyertai gabungan itu dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi yang dijadualkan awal Mei depan.
Pengerusinya, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata PN sememangnya sudah menerima permohonan rasmi daripada beberapa parti termasuk yang sebelum ini menyatakan minat untuk bersama gabungan berkenaan.
Menurutnya, setiap parti yang memohon diminta mengemukakan maklumat tambahan bagi membolehkan penilaian dibuat secara lebih terperinci sebelum keputusan diputuskan.
“Memang kita ada menerima permohonan daripada parti yang dinyatakan itu (PEJUANG dan BERJASA) termasuk daripada beberapa parti lain.
“Kita hantar nota kepada parti-parti ini untuk mendapatkan maklumat tambahan dari segi jumlah keahlian, struktur parti dan jawatankuasa supaya kita lebih memahami sebelum pertimbangan dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS yang berlangsung di Dataran Shahbandar, di sini.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata, semua permohonan berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN bagi menentukan sama ada parti terbabit boleh diterima sebagai anggota baharu.
“Insya-Allah dalam mesyuarat pimpinan tertinggi yang akan datang kita akan bincangkan permohonan itu dan kalau tidak ada apa-apa, kita boleh terima permohonan mereka,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama parti yang sudah mengemukakan permohonan rasmi kerana tidak mahu menimbulkan sebarang salah faham sekiranya permohonan berkenaan tidak diluluskan.
“Saya tidak mahu sebut nama kerana kalau esok tidak diluluskan mungkin akan menyinggung perasaan pihak berkenaan.
“Tetapi kita berharap semua anggota Majlis Pimpinan Tertinggi mempunyai fikiran terbuka demi memperkukuhkan PN dengan penyertaan parti-parti yang pelbagai dalam negara ini,” katanya.
Mengulas spekulasi kemungkinan penyertaan beberapa tokoh politik tertentu ke dalam PN, beliau berkata, perkara itu masih belum dapat dipastikan dan perlu dirujuk kepada individu terbabit.
Pada 1 Mac, Presiden Pejuang, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir telah menghantar surat permohonan untuk menyertai PN kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut diberikan kepada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.
“Keputusan untuk membuat permohonan berkenaan telah disepakatkan Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pejuang selepas penelitian semua opsyen gabungan dan kerjasama politik yang ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2026











