PM dinasihat lebih terbuka terima kritikan rakyat

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim disaran bersikap lebih terbuka dalam menerima kritikan rakyat, khususnya apabila melibatkan kenyataan yang pernah beliau sendiri ungkapkan sebelum ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim Hashim berkata, rakyat berhak mengingatkan semula kenyataan lama pemimpin tertinggi negara itu kerana ia dibuat secara terbuka dan berulang kali sebelum ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, tindakan mempertikaikan rakyat yang membangkitkan semula kenyataan berkenaan hanya menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan kerajaan.

“Tidak salah rakyat menyebut kembali kenyataan yang pernah dikeluarkan sendiri oleh Perdana Menteri. Sebagai seorang pemimpin negara, beliau sepatutnya berlapang dada dan terbuka menerima pandangan rakyat.

“Ketika sebelum berada dalam kerajaan, hujah itu digunakan berkali-kali, tiba-tiba bila kita jadi Perdana Menteri, kita pertikai pula bila rakyat menegur dengan cara yang sama.

“Saya rasa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri perlu menunjukkan sikap yang tenang dan menjawab dengan baik hemah. Tak perlu terlalu sensitif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS yang berlangsung di Dataran Shahbandar, di sini.

Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, Perdana Menteri seharusnya memberi tumpuan kepada usaha menangani isu yang lebih mendesak seperti kenaikan kos sara hidup dan harga minyak yang semakin membebankan rakyat.

Katanya, rakyat ketika ini lebih mahu melihat penyelesaian konkrit daripada kerajaan berbanding respons yang dilihat terlalu sensitif terhadap teguran masyarakat.

“Yang penting pada hari ini, rakyat mahu melihat apa solusi yang boleh kerajaan tawarkan supaya rakyat tidak merasa terlalu terkesan dengan tindakan drastik kerajaan berkait dengan beberapa perkara antara lain harga minyak yang terlalu mendadak,” katanya.

Beliau berkata, kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan juga perlu dihormati selagi pandangan disuarakan itu tidak melanggar undang-undang atau menjejaskan ketenteraman awam.

Menurut beliau, tindakan kepada pihak mengkritik kerajaan boleh menimbulkan tanggapan negatif terhadap komitmen pentadbiran semasa yang mana prinsip demokrasi selama ini diperjuangkan.

“Saya rasa berbanding apa yang dilakukan oleh keadilan ketika era Datuk Seri Anwar dulu berbanding dengan apa yang rakyat tegur dan sebagainya, saya rasa sekarang lebih berhemah.

“Tak ada lagi saya dengar yang sampai berguling-guling dan sebagainya tunjuk perasaan sehingga melakukan keganasan.

“Jadi terutama sekali bila kita bercakap tentang soal kebebasan bersuara, demokrasi dan sebagainya saya rasa sepatutnya Perdana Menteri yang dianggap sebelum ini sebagai pejuang reformasi, demokrasi dan sebagainya sepatutnya terbuka.

“Janganlah memberi isyarat yang salah melalui tindakan-tindakan yang ditafsirkan oleh rakyat kelihatan agak melulu. Melainkan kalau apa yang tindakan yang dilakukan oleh rakyat itu jelas bercanggah undang-undang, mengganggu ketenteraman awam dan lain-lain.

“Tapi kalau setakat rakyat menyuarakan pandangan, rasa hati, itu sepatutnya Perdana Menteri terbuka kerana kebebasan bersuara termaktub dalam perlembagaan negara kita jadi itu perkara yang perlu dihormatilah,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan pemilik akaun TikTok, Jorjet Myla direman selama tiga hari atas dakwaan membuat satu hantaran video di TikTok meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap prestasi Perdana Menteri.

Tindakan penahanan itu sekali gus mencetuskan ketidakpuasan hati pelbagai pihak yang mempersoalkan justifikasi undang-undang serta keperluan tindakan tersebut hanya kerana kritikan terhadap kepimpinan negara.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, kes ini turut mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya intimidasi politik terhadap aktivis media dan suara kritikal, selain ruang kebebasan bersuara semakin mengecil melalui penggunaan penguatkuasa.

Menurut Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), kerajaan terdahulu juga berdepan dengan pelbagai kritikan rakyat, namun pendekatan yang diambil adalah dengan meneliti teguran dan memperbaiki kelemahan dalam dasar sedia ada.

“Perikatan Nasional dulu pun macam-macam rakyat kata tak adalah kita ambil tindakan macam tu apa yang kita buat, yang mana kita boleh respon, yang mana kita boleh perbetulkan sekiranya ada kelemahan, kita betulkan.

“Sebab itu kalau kita tengok bagaimana kita menangani Covid-19. Tiap-tiap hari rakyat boleh melihat pelbagai pandangan, teguran, kecaman rakyat.

“Dapat dilihat bagaimana kerajaan memberi respon di dalam bentuk mengubah suai dasar-dasar yang ada kelemahan diperbetulkan supaya sedikit sebanyak kita boleh memenuhi apa yang dihasratkan oleh rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kredibiliti Perdana Menteri juga perlu dipelihara dengan memastikan setiap maklumat yang diterima dan disampaikan kepada rakyat adalah tepat.

“Pada saya, jika bukan salah Perdana Menteri sekalipun, pegawai-pegawai di sekeliling beliau perlu memastikan maklumat yang disampaikan kepada Perdana Menteri adalah tepat. Jangan sampai maklumat yang salah diberikan kerana akhirnya ia akan menjejaskan kewibawaan dan kredibiliti Perdana Menteri Malaysia sendiri.

“Saya melihat kebelakangan ini, setiap kali Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan atau respons dalam media, reaksi rakyat khususnya dalam kalangan warga media sosial menunjukkan semakin ramai yang hilang kepercayaan. Keadaan itu bukan sesuatu yang dirancang atau digerakkan oleh pihak tertentu, sebaliknya ia adalah reaksi semula jadi rakyat.

“Orang boleh menerima jika kesilapan berlaku sekali, tetapi apabila ia berulang kali, akhirnya sukar untuk rakyat terus mempercayai apa yang disampaikan. Perkara itu secara langsung memberi kesan kepada kewibawaan dan kredibiliti Perdana Menteri sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2026

- Advertisement -