Cadangan darurat tangguh PRN kerana isu minyak tidak munasabah

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Cadangan mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) atas alasan memberi tumpuan kepada isu kenaikan harga minyak disifatkan sebagai tidak munasabah.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, langkah itu hanya wajar dilakukan sekiranya negara berdepan ancaman besar yang melibatkan keselamatan awam serta nyawa rakyat seperti ketika pandemik COVID-19.

- Advertisement -

Menurutnya, kenaikan harga minyak yang berlaku ketika ini tidak sampai ke tahap boleh mengancam keselamatan negara sehingga memerlukan pengisytiharan darurat.

“Darurat ini biasanya diisytiharkan apabila negara berdepan keadaan luar biasa seperti wabak yang melibatkan nyawa manusia dan kerajaan perlu tangani supaya tidak berlaku jangkitan dan menambah jumlah kematian. Itu baru betul daruratlah sebab menyebabkan keselamatan nyawa.

“Namun isu kenaikan harga minyak tidak melibatkan ancaman kepada nyawa atau keselamatan awam kerana ia merupakan fenomena yang turut dialami banyak negara lain, bukan Malaysia sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS yang berlangsung di Dataran Shahbandar, di sini, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu berkata, bekalan minyak negara juga masih mencukupi dan keadaan semasa tidak menunjukkan sebarang bencana atau krisis luar biasa yang boleh dijadikan asas untuk menangguhkan PRN.

“Saya berpandangan alasan menggunakan kenaikan harga minyak serta konflik di Timur Tengah untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan pilihan raya adalah tidak berasas.

“Buat masa ini, hujah itu tidak munasabah kerana tidak ada apa-apa yang mengancam keselamatan atau nyawa manusia,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dikatakan menyarankan kerajaan mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan pilihan raya negeri berikutan untuk memberi keutamaan kepada isu minyak. – HARAKAHDAILY 17/4/2026

- Advertisement -