‘Darurat tangguh PRN: Cubaan pertahan kuasa politik kerajaan’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyifatkan cadangan seorang Ahli Parlimen DAP supaya darurat diisytiharkan bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai langkah terkebelakang yang merosakkan tiang seri demokrasi negara.

Pengarah Pilihan raya DPPM, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, cadangan itu dilihat sebagai cubaan mempertahankan kuasa politik ketika kerajaan berdepan pelbagai tekanan termasuk isu ekonomi, kenaikan kos sara hidup dan kemerosotan sokongan rakyat.

- Advertisement -

Menurutnya, rakyat berhak mempersoalkan sama ada cadangan berkenaan benar-benar demi kepentingan negara atau sekadar usaha menyelamatkan kedudukan politik pihak tertentu.

“Ironinya, ketika negara berdepan pandemik COVID-19 yang jauh lebih dahsyat, ketika rakyat mati, hospital penuh dan ekonomi lumpuh, merekalah antara pihak yang paling kuat mendesak supaya pilihan raya tetap diadakan. Ketika itu, mereka bercakap soal demokrasi, mandat rakyat dan hak rakyat memilih kerajaan.

“Hari ini apabila sokongan mula merosot, ekonomi makin tenat, rakyat makin marah dan kerajaan perpaduan makin bercelaru, tiba-tiba demokrasi dianggap tidak penting. Dulu mereka kata pilihan raya mesti diteruskan walaupun wabak sedang mengganas.

“Hari ini bila gelombang penolakan rakyat makin kuat, mereka pula yang mahu sembunyi di sebalik darurat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura berkata, keadaan itu memperlihatkan sikap hipokrit sesetengah pihak yang hanya mempertahankan demokrasi apabila ia memberi keuntungan politik kepada mereka.

“Inilah wajah sebenar politik hipokrit. Demokrasi dipertahankan hanya apabila menguntungkan mereka, tetapi dicampak ke tepi apabila kuasa sendiri mula tergugat,” katanya.

Beliau berkata, sebarang cadangan untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan PRN tanpa ancaman keselamatan yang nyata adalah pencabulan dan penghinaan terhadap hak rakyat untuk memilih kerajaan negeri masing-masing.

“Rakyat tidak bodoh. Rakyat tahu membezakan antara darurat demi keselamatan negara dengan darurat demi menyelamatkan kuasa politik yang semakin rapuh,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dikatakan menyarankan kerajaan mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan pilihan raya negeri berikutan untuk memberi keutamaan kepada isu minyak. – HARAKAHDAILY 17/4/2026

- Advertisement -