
TEHRAN: Seorang penggubal undang-undang Iran berkata rancangan yang dicadangkan untuk memformalkan kedaulatan Iran ke atas Selat Hormuz bertujuan untuk mengukuhkan mata wang negara, rial, melalui mekanisme kewangan serantau.
Ahmad Naderi, yang juga ahli lembaga pengerusi parlimen,lapor ISNA, menegaskan rancangan itu membayangkan pembayaran berkaitan transit maritim dijalankan dalam rial, menggambarkannya sebagai langkah ke arah meningkatkan peranan mata wang dalam perdagangan serantau.
“Anggaran hasil daripada mengurus dan mengawal selia trafik maritim di laluan air strategik itu akan berkisar antara USD$10 bilion dan USD$15 bilion setiap tahun, namun angka yang lebih tinggi yang beredar dalam beberapa analisis adalah ‘diperbesar-besarkan’ dan tidak selaras dengan realiti di lapangan,” katanya.
Naderi, yang mewakili Tehran di parlimen, turut memberi amaran terhadap apa yang beliau sifatkan sebagai gambaran ‘emosi dan tidak realistik’ tentang hasil berkaitan Selat Hormuz, dengan menekankan bahawa naratif sedemikian boleh memainkan peranan dalam tekanan ekonomi dan sosial yang direka oleh pihak musuh.
Terdahulu, sistem perkapalan melalui Selat Hormuz telah terjejas teruk sejak serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran bermula pada 28 Februari 2026, dengan ketegangan semakin meningkat selepas sekatan tentera laut AS diumumkan susulan kegagalan rundingan Washington-Tehran di Islamabad, Pakistan baru-baru ini.
Kira-kira 20 peratus bekalan minyak global melalui selat berkenaan setiap hari, dan peningkatan ketidakamanan telah meningkatkan harga minyak, serta kos penghantaran dan insurans. – HARAKAHDAILY 17/4/2026











