Model Kedah bukti zakat mampu ubah pesawah jadi usahawan

Pesawah terus rugi, ke mana hasil kekayaan negeri?

- Advertisement -

IPOH: Ustaz Khalil Yahya (PN-Kubu Gajah) menarik perhatian terhadap model dilaksanakan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melalui penggunaan instrumen zakat dan wakaf dalam memperkasa sektor pertanian.
|
Beliau menjelaskan, model itu memperlihatkan bagaimana dana zakat tidak hanya diagihkan secara konsumtif, sebaliknya dimanfaatkan untuk pengeluaran produk termasuk penyediaan jentera pertanian.

- Advertisement -

Menurutnya, ia termasuk latihan kemahiran, sokongan modal serta pembangunan rantaian nilai daripada pengeluar hingga ke peringkat pemasaran.

“Sebagai contoh, melalui inisiatif seperti program Smart Sawah dan Projek Hassan, pesawah bukan sahaja dibantu dari segi kos operasi seperti penggunaan jentera yang mengurangkan kos sehingga ribuan ringgit setiap musim, malah turut dibimbing menjadi usahawan tani yang lebih berdaya mampan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Sultan Perak sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat pada Persidangan Dewan Negeri di Bangunan Darul Ridzuan, di sini kelmarin.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan beberapa langkah mitigasi utama termasuk mewujudkan Dana Intervensi Pertanian negeri berasaskan konsep zakat dan wakaf bagi menyediakan aset produktif seperti jentera, dron dan sistem pengairan pintar kepada pesawah kecil.

Beliau menyatakan, langkah kedua ialah membangunkan ekosistem sokongan menyeluruh melibatkan latihan teknikal, pemindahan teknologi serta jaminan pasaran bagi mengelakkan petani terperangkap dengan orang tengah.

“Kita takut macam disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah yang ada kartel-kartel di ladang atau di sawah-sawah padi. Kita takut negeri Perak pun ada,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan supaya kerjasama strategik diperkukuhkan antara agensi kerajaan negeri, institusi zakat, institusi kewangan Islam dan pihak swasta bagi memastikan pembiayaan serta pelaksanaan program bersifat holistik dan berimpak tinggi.

Selain itu, jelasnya, model ‘From Asnaf to Muzakki’ perlu diperkenalkan bagi mengangkat golongan pesawah miskin menjadi pengeluar yang akhirnya mampu menyumbang semula kepada ekonomi dan sistem zakat.

“Langkah seterusnya ialah memastikan aspek pentadbiran urus yang telus, pemantauan berterusan serta penilaian impak dilaksanakan agar setiap peruntukan benar-benar sampai dan memberi kesan kepada kumpulan sasaran,” tambahnya.

Beliau berpandangan, pendekatan itu bukan sahaja selari dengan prinsip maqasid syariah, malah berupaya mengurangkan kebergantungan kepada import makanan serta meningkatkan keterjaminan makanan negeri secara menyeluruh.

“Jika model ini berjaya dilaksanakan secara serius dan berskala besar di Perak, kami yakin negeri ini bukan sahaja mampu bertahan status sebagai jelapang padi.

“Malah berpotensi menjadi model nasional dalam pengurusan krisis makanan berasaskan pendekatan Islam yang inklusif dan mampan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Perak sebagai negeri jelapang padi kelima terbesar negara diangkat sebagai negeri pengeluar padi utama, namun realiti di lapangan tidak seindah disangka apabila pesawah masih dibelenggu masalah berulang.

Beliau menjelaskan isu dihadapi termasuk sistem pengairan, kos baja yang meningkat, masalah benih padi, insentif yang lambat disalurkan serta tekanan kos jentera akibat kenaikan harga diesel.

“Pesawah masih berhadapan kerugian berulang setiap musim akibat kos input yang tidak stabil, selain masalah perairan dan kelewatan bantuan sebagaimana pernah dilaporkan oleh Pertubuhan Peladang Negeri Perak.

“Kita tidak rungsing ke manakah perginya sumber kekayaan yang sepatutnya dirasai oleh para pesawah atas nikmat suburnya tanah yang Allah Taala bagi kepada kita,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau menekankan kerajaan perlu mengenal pasti kelompongan yang berlaku dan memperbetulkan tatakelola bagi mengelakkan pembaziran sumber sehingga merugikan pesawah.

“Mereka adalah ‘frontliner’ yang bekerja untuk memastikan nasi yang kita makan sentiasa ada. Sewajibnya mereka ini dibela dan diberi perhatian.

“Dalam menghadapi ketidaktentuan krisis makanan global saya ingin mengharap agar kerajaan negeri Perak merangka satu pelan mitigasi yang lebih berstruktur khusus bagi melindungi pesawah dan petani di kawasan jelapang padi di negeri ini.

“Kita tidak boleh bergantung hanya kepada subsidi konvensional semata-mata sebaliknya perlu berani menerokai pendekatan yang baharu, yang lebih mampan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2026

- Advertisement -