
KUALA LUMPUR: Pentas universiti seharusnya menjadi medan percambahan intelek dan pembangunan sahsiah mahasiswa, namun insiden tersebut telah mencalarkan imej institusi ilmu yang selama ini dihormati.
Pengerusi Lajnah Pendidikan dan Pengajian Tinggi PAS Selangor, Nushi Mahfodz berkata demikian berikutan insiden yang tular membabitkan babak tidak senonoh dalam sebuah pementasan teater di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.
Beliau berkata, walaupun UM telah mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi serta mengakui berlaku pelanggaran terhadap skrip asal yang diluluskan, isu itu tidak wajar dihentikan sekadar usaha ‘damage control’.
“Pengakuan bahawa adegan tersebut tidak selaras dengan skrip asal menunjukkan wujudnya kegagalan sistemik yang membimbangkan dalam aspek pemantauan dan kawal selia,” katanya dalam satu kenyataan media di laman sosial, hari ini.
Nushi menegaskan, sebagai institusi yang memikul amanah membentuk generasi selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, universiti tidak boleh membiarkan ruang akademik dicemari dengan normalisasi budaya yang bercanggah dengan nilai agama dan norma masyarakat.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada permohonan maaf sahaja memadai, atau sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan reformasi polisi yang lebih tegas di peringkat nasional.
Mengulas lanjut, Nushi berkata kebebasan berekspresi sememangnya menjadi nadi tradisi universiti, namun ia perlu disertai dengan tanggungjawab sosial dan sensitiviti terhadap identiti institusi pendidikan tinggi.
Beliau turut merujuk pandangan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) yang menegaskan bahawa kebebasan berkarya bukan lesen untuk mengabaikan nilai masyarakat.
“Apabila sempadan ini menjadi kabur, bukan sahaja imej program terjejas, malah kredibiliti institusi secara keseluruhan turut terhakis,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menghargai tindakan pihak universiti yang membatalkan kelayakan pementasan berkenaan daripada dinilai dalam Karnival Teater (KARVITER), namun menegaskan langkah lebih menyeluruh perlu diambil bagi mengelakkan kejadian berulang.
“Antara cadangan yang dikemukakan termasuk keperluan menyelaras garis panduan kebudayaan institusi pengajian tinggi di peringkat kementerian supaya lebih jelas dan seragam tanpa mengekang kreativiti.
“Selain itu, mekanisme semakan kandungan diperkukuh dengan penilaian seimbang antara aspek artistik dan pembinaan sahsiah, di samping memastikan pihak pengurusan universiti tidak melepaskan tanggungjawab penyeliaan sepenuhnya kepada mahasiswa,” jelasnya.
Dalam aspek akauntabiliti, beliau menegaskan penganjur dan penasihat program perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kandungan yang dipersembahkan, termasuk mempertimbangkan pelaksanaan ‘Aku Janji Integriti Budaya’ sebagai syarat penganjuran aktiviti kesenian.
Beliau turut menekankan keperluan audit terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi meneliti rantaian kelulusan dan mengenal pasti bagaimana perubahan ketara terhadap skrip asal boleh berlaku tanpa dikesan lebih awal.
“Universiti bukan sekadar ruang eksperimen tanpa hala tuju, tetapi medan membentuk cara berfikir dan membuat pertimbangan generasi masa depan.
“Jika sempadan ini menjadi kabur, kita bukan sahaja berdepan isu satu pementasan, tetapi mempertaruhkan standard moral yang ingin dipertahankan sebagai sebuah bangsa,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa permohonan maaf oleh UM adalah langkah permulaan, namun reformasi polisi yang menyeluruh merupakan jaminan masa depan bagi memelihara integriti pendidikan dan budaya di institusi pengajian tinggi.
Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dan wanita melakonkan babak intim di atas pentas, yang difahamkan merupakan sebahagian daripada pementasan teater di UM.
Rakaman berkenaan memaparkan dua pelakon melakukan aksi fizikal yang dianggap tidak senonoh di atas pentas di hadapan penonton yang rata-ratanya terdiri daripada mahasiswa. Rata-rata netizen menyifatkan persembahan tersebut sebagai melampau serta mencemarkan imej UM sebagai universiti elit.
Pihak UM menjelaskan bahawa setiap aktiviti pelajar tertakluk kepada peraturan ketat yang mewajibkan setiap persembahan bebas daripada unsur negatif, provokasi, atau kandungan yang boleh menjejaskan nilai agama, moral, etika dan budaya.
Kes ini kini dalam perhatian serius pihak pengurusan tertinggi universiti bagi tindakan tatatertib selanjutnya terhadap individu yang terlibat. – HARAKAHDAILY 17/4/2026











