‘Akta Hasutan disalah guna untuk sekat kritikan’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menyalahgunakan Akta Hasutan untuk membungkam kritikan politik disifatkan sebagai satu bentuk salah guna kuasa yang amat malang, kata Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Salleh.

Beliau berkata demikian susulan penahanan seorang TikToker dikenali sebagai Jorjet Myla selama tiga hari berhubung video yang memaparkan luahan rasa tidak puas hati terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, di bawah Akta Hasutan 1948.

- Advertisement -

“Tindakan berkenaan bukan sekadar isu perundangan, sebaliknya dilihat sebagai satu bentuk intimidasi yang cuba memadamkan keberanian wanita dalam menegur kepimpinan negara.

Beliau menegaskan bahawa Islam meletakkan wanita pada kedudukan yang mulia dan memberikan hak sepenuhnya untuk terlibat dalam urusan Amru bil Ma’ruf wa Nahyu ‘anil Munkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran).

“Allah SWT berfirman dalam Surah At-Tawbah, ayat 71: ‘Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan.’

“Ayat ini jelas menunjukkan bahawa tanggungjawab menegur dan memberi nasihat kepada pemerintah bukan hanya terletak di bahu kaum lelaki, malah ia adalah amanah yang turut dipikul oleh kaum wanita,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial, hari ini.

Mengulas lanjut, Nuridah berkata tindakan seorang wanita bersuara mengenai prestasi ekonomi atau kepimpinan tidak seharusnya dianggap sebagai satu jenayah, sebaliknya manifestasi keprihatinan terhadap masa depan keluarga dan negara.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa Dato’ Seri Anwar Ibrahim agar mencontohi kepimpinan Khalifah Umar bin Al-Khattab yang terbuka menerima teguran, termasuk daripada seorang wanita biasa.

Menurutnya, sejarah merakamkan bagaimana Saidina Umar pernah membatalkan cadangan mengehadkan kadar mahar selepas ditegur oleh seorang wanita yang mengemukakan dalil daripada Surah An-Nisa ayat 20.

“Mendengar hujah tersebut, Saidina Umar dengan penuh tawaduk mengakui kesilapannya di hadapan khalayak ramai sambil berkata bahawa semua orang lebih faqih daripadanya, termasuk wanita tersebut.

“Beliau tidak menggunakan kuasanya untuk menghukum, sebaliknya meraikan kebenaran yang disampaikan,” katanya.

Sehubungan itu, Nuridah mempersoalkan sama ada kerajaan hari ini merasakan diri mereka lebih berkuasa sehingga tidak mampu menerima kritikan, khususnya daripada wanita di media sosial.

Beliau turut menegaskan bahawa DMPM mendesak agar sebarang bentuk intimidasi terhadap rakyat dihentikan serta-merta.

Menurut Nuridah, rakyat, khususnya wanita, berhak untuk berasa selamat dalam menyatakan pandangan tanpa rasa takut atau ancaman tindakan undang-undang.

“Janganlah kerana takut kepada bayang-bayang kegagalan sendiri, kerajaan sanggup mengabaikan prinsip demokrasi dan nilai murni yang diajarkan oleh Islam.

“DMPM akan terus berdiri teguh sebagai pembela kepada hak rakyat dan wanita untuk bersuara demi sebuah keadilan,” katanya.

Terdahulu, TikToker Jorjet Myla dilaporkan ditahan dan sedang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, dipercayai susulan kenyataannya yang mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam satu video di TikTok.

Dalam video berkenaan, Myla dilaporkan melontarkan kritikan terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan menyatakan PMX sering menyalahkan pihak lain atas kelemahan serta prestasi yang disifatkan tidak memberangsangkan. – HARAKAHDAILY 17/4/2026

- Advertisement -