Kerajaan tak tunai janji, rakyat luah emosi kena tangkap

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Emosi rakyat biasa yang diluahkan sebagai menyuarakan ketidakdakpuasan hati terhadap janji-janji kerajaan memerintah tidak wajar sewenang-wenangnya dituduh berbuat hasutan.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Najihatussalehah Ahmad menegaskan, kebebasan bersuara sedemikian tidak sepatutnya dihadapkan dengan layanan secara ‘double standard’ menggunakan penguat kuasa.

- Advertisement -

Beliau mengulas penahanan reman terhadap seorang TikToker dikenali Jorjet Myla selama tiga hari berhubung satu video yang memuat naik luahan rasa tidak puas hati terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Dr Najihah berkata, beliau telah meneliti kandungan video berkenaan dan berpendapat kritikan individu terbabit tidak bersifat hasutan, sebaliknya lebih kepada emosi seorang rakyat terhadap pimpinan kerajaan.

“Kandungan video tersebut menggambarkan rintihan rakyat yang mahukan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX), menunaikan janji-janji yang telah dibuat sebelum ini.

“Bila saya teliti video tersebut, apa yang diperkatakan oleh beliau adalah lebih kepada ‘keluhan’ daripada seorang rakyat yang sedang merintih mahukan PMX laksanakan janjinya,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut menegaskan bahawa tidak terdapat sebarang perkataan dalam ulasan dimuat naik ke media sosial berkenaan yang menunjukkan unsur menghasut seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

“Tiada pula perkataan yang membuktikan beliau sedang menghasut,” kata Dr Najihah yang juga Ketua Muslimat PAS Negeri Perak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota.

Dalam pada itu, Najihatussalehah berkata, wujudnya sikap tidak konsisten atau ‘double standard’ dalam tindakan terhadap kritikan yang dibuat ke atas kerajaan, khususnya melibatkan luahan di media sosial.

“Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai pendekatan pihak berkuasa dalam menangani teguran rakyat, terutamanya apabila ia melibatkan kritikan terhadap kepimpinan negara,” ujarnya.

Justeru, beliau turut membandingkan situasi semasa dengan keadaan Dato’ Seri Anwar berada di pihak pembangkang, yang menurutnya ruang kritikan lebih terbuka dan bebas tanpa tekanan tidak wajar ketika itu.

“Dulu semasa jadi pembangkang, boleh sahaja kritik kerajaan. Sekarang PMX seolah-olah tidak boleh ditegur apabila ada luahan rasa tidak puas hati daripada rakyat,” katanya mempertikaikan intimidasi atas Myla.

Terdahulu, Jorjet Myla dilaporkan ditahan dan sedang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, dipercayai susulan kenyataannya yang mengkritik kepimpinan Anwar dalam satu video di TikTok, sebelum dibebaskan tiga hari kemudian.

Dalam video berkenaan, Myla dilaporkan melontarkan kritikan terhadap Dato’ Seri Anwar bahawa PMX sering menyalahkan pihak lain atas kelemahan serta prestasi yang disifatkan tidak memberangsangkan.

Dia juga menyifatkan PMX masih berperanan seperti Ketua Pembangkang dan berpandangan Presiden PKR itu mungkin lebih selesa berada di luar kerajaan. – HARAKAHDAILY 17/4/2026

- Advertisement -